Suami jadi dalang rompak isteri di Karak diberkas polis - Utusan Malaysia

Suami jadi dalang rompak isteri di Karak diberkas polis

TANGKAP layar sebuah kereta Perodua Alza berwarna putih yang dinaiki tiga suspek dalam kejadian rompakan di Taman Hijau, Karak di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Seorang suami sanggup menjadi dalang dalam kes rompatan membabitkan isterinya semata-mata bagi membuat tuntutan insurans di Taman Hijau, Karak di sini.

Dalam kejadian 17 Julai lalu, seorang wanita berusia 42 tahun didatangi tiga lelaki yang mengacukan parang dan menggeledah rumah mangsa, kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna putih yang diparkir di hadapan rumah.

Ketika kejadian, mangsa yang merupakan suri rumah tinggal berseorangan kerana ibu dan anaknya keluar ke rumah saudara, manakala suaminya menjalankan kerja amal di Karak.

Suspek berjaya membawa lari sejumlah barang kemas milik mangsa dan kerugian yang dialami wanita terbabit dianggarkan berjumlah RM16,000.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan IPD Nilai, Negeri Sembilan menahan dua lelaki tempatan berusia 33 tahun dan seorang warga asing berusia 24 tahun pada hari yang sama, pukul 9.30 malam di Nilai.

“Polis turut merampas kereta digunakan oleh suspek ketika kejadian tersebut dan mendapati kedua-dua suspek warga tempatan mempunyai rekod jenayah lampu, iaitu kes rompakan.

“Hasil siasatan, suspek yang ditahan memaklumkan suami mangsa yang berusia 47 tahun dipercayai menjadi dalang utama dalam kes rompakan ini semata-mata bagi tujuan tuntutan insurans,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zaiham berkata, tiga suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 24 Julai ini manakala suami mangsa direman lima hari sehingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Akta Kanun Keseksaan, iaitu merompak berkumpulan dengan menggunakan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun dan juga sebatan.

Ujarnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak serta akan mengambil tindakan undang-undang terutama kes jenayah yang sengaja dirancang untuk tujuan tertentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya