SPRM temu King Sing, pelawat China esok

SPRM temu King Sing, pelancong China esok

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing esok berhubung dakwaan beliau mengenai budaya rasuah membabitkan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengesahkan perkara itu kepada Mingguan Malaysia, Tan Sri Azam Baki berkata, turut serta dalam pertemuan itu nanti iaitu pelancong dari China yang didakwa menjadi mangsa kepada perlakuan rasuah.

Kata beliau, sehingga sebelum pertemuan itu, pihaknya tidak boleh merumuskan sama ada benar atau tidak terdapat perlakuan rasuah seperti yang didedahkan.

“Sudah pasti maklumat mendakwa terdapat perlakuan rasuah didedahkan menerusi laporan media, jadi SPRM perlu mendapatkan maklumat ber­kenaan untuk penelitian.

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua individu berkenaan kerana tidak mahu ada individu cuba mengambil kesempatan dalam keadaan yang tegang ini.

“Diharap semua bersabar dan jika benar ada seperti yang didedahkan, kita akan ambil tindakan mengikut lunas undang-undang SPRM,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sebelum itu, Azam turut mengesahkan satu siasatan dimulakan SPRM berhubung dakwaan budaya rasuah membabitkan pihak berkuasa di KLIA.

Azam memberi jaminan pendedahan King Sing itu akan disiasat dengan sewajarnya.

“Oleh itu, kami menggesa orang ramai agar tidak mensensasikan atau membuat spekulasi mengenai perkara ini,” katanya di sini semalam.

Pada Jumaat lalu, King Sing mengakui beliau merupakan individu yang dilaporkan terbabit dalam kekecohan di ruang ketibaan antarabangsa KLIA.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bintulu itu menafikan tuduhan bahawa kekecohan itu timbul kerana beliau menuntut Jabatan Imigresen membebaskan pelawat dari China.

Sebaliknya, kata beliau, kehadirannya di KLIA telah membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

Selain itu, King Sing turut menggesa SPRM melakukan operasi besar-besaran di KLIA bagi membongkar realiti sebenar yang berlaku di pintu masuk utama negara.

Beliau mendakwa menerima maklumat ada pegawai imigre­sen yang meminta wang sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan.

“Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan daripada tahanan.

“Tambahan RM3,000 lagi diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’ manakala RM12,000 untuk kos memproses visa,’’ dakwa beliau.

King Sing berkata, semua maklumat itu akan diserahkan kepada SPRM supaya siasatan dapat dijalankan seterusnya dapat memulihkan imej Malaysia di pintu masuk negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN