Simpan 48,600 liter minyak diesel bersubsidi dalam gudang

Simpan 48,600 liter minyak diesel bersubsidi dalam gudang terpencil terbongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Tindakan sindiket menyimpan minyak diesel bersubsidi di sebuah gudang persendirian di kawasan terpencil bagi mengaburi pihak berkuasa terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyerbu premis berkenaan yang terletak di Jalan Tukang Besi, di sini, pada Rabu lalu.

Menerusi serbuan yang dilakukan Unit I Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di gudang berkenaan merampas sebanyak 48,600 liter minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM104,490.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah JKDM Datuk Sazali Mohamad, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa muatan tangki diesel, tiga tangki skid bersaiz 30,000 liter dan tiga buah lori ‘bonded’ yang diubahsuai oleh sindiket.

Kata beliau, ketika serbuan dilakukan tiada sebarang tangkapan dibuat dan mereka yang terlibat disyaki melarikan diri.

“Sindiket terbabit menjadikan kawasan tersebut sebagai lokasi penyimpanan atau transit minyak diesel disebabkan lokasinya yang tersorok dan jauh dari pandangan awam.

“Kami percaya, aktiviti ini dijalankan sejak awal tahun 2023 berdasarkan bukti penjejakan yang dibuat pasukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, sindiket ini dikesan giat menjalankan aktiviti penjualan diesel bersubsidi secara haram kepada pihak industri tempatan.

Tambah Sazali, semakan lanjut mendapati tidak ada sebarang dokumen berkaitan kelulusan penyimpanan barang kawalan ditemui di kawasan tersebut.

“JKDM juga sedang giat menjalankan siasatan untuk mengesan ahli kumpulan sindiket yang terlibat bagi tindakan selanjutnya,” jelasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN