Siapa tanggung faedah sukuk Felda RM9.9 bilion?

Siapa tanggung faedah sukuk Felda RM9.9 bilion?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Felda diminta menjelaskan secara terperinci tentang kadar faedah yang perlu dibayar terhadap sukuk RM9.9 bilion menerusi jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelupusan hutang pe­neroka.

Ini kerana kerajaan hanya menyalurkan peruntukan RM1 bilion setahun untuk membantu Felda membayar pokok sukuk itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, jika faedah itu akan ditanggung oleh Felda, agensi itu perlu menyatakan sumber kewangan untuk menanggung beban sukuk berkenaan.

BEBAN

“Kita tidak mahu ia diletakkan atas bahu peneroka semata-mata yang sekali gus akan menanggung beban hutang tinggi setiap bulan,” katanya di sini semalam.

Pada 8 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan menyalurkan sehingga RM1 bilion setahun untuk tempoh 10 tahun kepada Felda melalui terbitan sukuk bagi memastikan kelangsungan agensi itu.

Anwar berkata, ia juga bagi meneruskan pembayaran sukuk Felda yang tertangguh oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Bagaimanapun Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, Anwar melakukan pembohongan berhubung pelupusan hutang peneroka Felda.

Muhyiddin turut menafikan dakwaan Ahli Parlimen Tambun itu yang menuduhnya tidak melaksanakan pelupusan hutang tersebut semasa menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengakui Muhyiddin ada menyatakan untuk membayar RM1 bilion setahun selama 10 tahun yang sepatutnya dibayar mulai 2022, tetapi perkara itu tidak dilaksanakan.

PERINCI

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, jika perlu ditanggung oleh peneroka, kerajaan perlu memperincikan jumlah bayaran dan mendapatkan persetujuan warga tanah rancangan terbabit.

“Perkara ini perlu telus, Felda tidak boleh terus berselindung seperti mana berlaku sebelum ini yang mana banyak potongan, peneroka sendiri tidak tahu hutang apa yang dipotong.

“Jadi, berhubung kadar faedah berkaitan sukuk ini pun tidak boleh hanya sebelah pihak sahaja tahu, peneroka wajib tahu supaya mereka dimaklumkan berapa jumlah hutang perlu dibayar.

“Jika tidak, situasi penghapusan hutang seperti berlaku ketika ini akan terus berulang. Kesudahannya, peneroka yang menjadi mangsa dan terus dibebani hutang,” katanya.

Mengulas penghapusan hutang peneroka, beliau berkata, benar ia dihapuskan sehingga 2019 selepas timbul keraguan tentang potongan dibuat Felda.

“Itu seperti mana diumumkan melalui sukuk jaminan kerajaan, cuma pada ketika ini peneroka masih kekal berhutang dan perlu membayarnya kerana tidak semua hutang dihapuskan.

“Dari 2020 hingga terkini, ada hutang baru peneroka yang perlu dibayar kepada Felda, cuma kadarnya berbeza setiap peneroka bergantung pinjaman diambil,” katanya.

Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Perpaduan kerana meneruskan janji bagi menghapuskan 80 peratus hutang peneroka.

“Kita harap ia disertakan dengan bukti dan penyata lengkap tentang hutang peneroka yang dihapus kira termasuk hutang semasa perlu dibayar dan kadar faedah sukuk terbabit.

“Apa dilakukan kerajaan (hapus hutang) adalah usaha yang baik bagi membantu peneroka, cuma kita harap ia tidak indah khabar daripada rupa dan tidak hanya di atas kertas semata-mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN