GUA MUSANG: Tindakan Pas yang sanggup duduk sepentas dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan memberi peluang kepada tokoh itu untuk berucap buat kali pertama di Kota Bharu malam kelmarin sebagai satu tindakan terdesak oleh pihak Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal ini kerana PN seolah-olah sudah tiada ruang lain apabila mengheret Dr. Mahathir atau Tun M.
“Dia (Pas) heret Tun M, orang yang paling kejam terhadap Pas, sekolah agama rakyat dan mangsa Memali.
“Sekarang ini, dia (Tun M) didokong. Takpalah, itu hak dia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Sentuhan Madani Felda di Felda Chiku 5 di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, kesilapan yang pernah dilakukan Tun M kepada Pas sebelum ini bagaikan terampun selepas tokoh berkenaan tampil buat kali pertama berucap di atas pentas parti itu pada program Munajat Rakyat Kelantan: Pakat Pertahan dan Amanat Pemimpin di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Naib Presidennya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Pas sedia menerima negarawan ulung itu yang dilihat sudah berubah dalam konteks perjuangan.-UTUSAN










