Salahuddin pejuang kebajikan, kos sara hidup rakyat - Anwar - Utusan Malaysia

Salahuddin pejuang kebajikan, kos sara hidup rakyat – Anwar

ANWAR IBRAHIM (tengah) menatap kali terakhir wajah Allahyarham Salahuddin Ayub selepas mengimamkan solat jenazah di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, Serkat, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan seorang pemimpin yang sentiasa konsisten dalam perjuangan membela kebajikan rakyat, khususnya melibatkan kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap, sifat terpuji yang telah ditunjukkan Allahyarham akan menjadi suri teladan kepada pemimpin lain, khususnya dalam kerajaan.

Menurutnya, Ahli Parlimen Pulai itu tidak pernah berhenti daripada mencari kaedah terbaik dalam mengurangkan beban rakyat.

“Saya datang dengan Azizah (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) mewakili keluarga dan kerajaan untuk ucapkan takziah atas pemergian seorang sahabat, pejuang yang telah bersama puluhan tahun.

“Satu kehilangan besar buat negara kerana Allahyarham sinonim dengan rahmah, itu sifat dia yang konsisten dalam tugas. Beliau tak pernah terlepas cari jalan dan kaedah untuk ringankan beban rakyat.

“Saya harap semangat dan dedikasi beliau menjadi teladan, terutamanya sifat penyayang dan rahmah yang telah beliau tonjolkan sehingga akhir hayat,” katanya ditemui selepas mengimamkan solat jenazah Allahyarham Salahuddin di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, di sini hari ini.

Anwar berkata, kehadiran beliau turut bertujuan menyampaikan ucapan takziah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada keluarga Allahyarham secara peribadi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberitahu, pengganti jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang individu yang  kuat bekerja dan sentiasa memikirkan rakyat.

“Kali terakhir jumpa Allahyarham adalah dalam sesi Kabinet minggu lepas. Beliau bawa agenda untuk meringankan beban kos sara hidup. Setiap minggu beliau beri laporan kepada Kabinet, seorang yang bekerja keras, amat berdedikasi dan kita kehilangan seorang pemimpin, rakan yang berjiwa besar.

“Bukan senang jaga kementerian itu apatah lagi pada masa sekarang, banyak orang berkata macam-macam, pelbagai tekanan beliau hadapi. Pada akhirnya kita semua manusia bukannya robot,” jelasnya.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pula menyifatkan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar bagi rakyat Johor, khususnya penduduk di kawasan diwakilinya di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN