PETALING JAYA: PKR hari ini mengingatkan Perikatan Nasional (PN) bahawa hasil-hasil yang kini dinikmati oleh Kedah berpunca daripada pelaburan infrastruktur yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Kulim Hi-Tech Park.
Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata, perkara itu sekali gus menolak sebarang dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan Kedah.
“Buat apa Kerajaan Persekutuan nak mengetepikan Kedah? Dalam demokrasi, logiknya mudah – kita buat baik untuk rakyat agar rakyat terus memberi sokongan kepada kita.
“Yang PN tak pernah sebut ialah hasil-hasil yang kini dinikmati oleh Kedah berpunca daripada pelaburan infrastruktur yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Kulim Hi-Tech Park.
“Yang PN tak pernah sebut ialah 80 peratus daripada hasil kerajaan negeri datang daripada kawasan perindustrian dan pembandaran sekitar Kulim Hi-Tech. Hasil inilah yang bayar untuk gaji dan pembelanjaan Kerajaan Negeri PAS,” katanya dalam satu hantaran di Twitter.
Pada masa sama, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi mengingatkan PN bahawa Kulim Hi-Tech Park tidak muncul secara tiba-tiba.
Katanya, ini kerana ia memerlukan perancangan dan penelitian beberapa bulan dan tahun sebelum mula dibangun.
“Itulah tugas Kerajaan Persekutuan, untuk mengkaji dan mengenal pasti penyelesaian mendalam yang mampu membawa kemajuan kepada negeri secara jangka panjang.
“Jika PN ada tawaran dan idea yang munasabah, saya sebenarnya sedia untuk dengar. Jika ada kajian kemungkinan atau angka-angka yang dikemukakan dan masuk akal, saya rela sahaja bekerjasama.
“Jadi, buat masa sekarang, saya fikir lagi baik PN ambil masa fikir dan terang kepada rakyat apa tawaran dan idea mereka untuk bantu rakyat daripada ulang benda yang sama setiap hari,” ujarnya. -UTUSAN