Puvet ATM bantu usahawan veteran tentera - Utusan Malaysia

Puvet ATM bantu usahawan veteran tentera

ADLY Zahari (dua dari kanan) menyampaikan geran padanan SPKLB kepada salah seorang usahawan Veteran ATM sempena Majlis Pelancaran Puvet ATM di Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kementerian Pertahanan hari ini melancarkan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (Puvet) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha memartabatkan kerjaya kedua veteran tentera khususnya dalam bidang keusahawanan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program berkenaan dilaksanakan melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) yang berperanan sebagai pemudah cara dan penghubung untuk mengenal pasti insentif keusahawanan yang diperlukan oleh usahawan veteran ATM bagi memajukan perniagaan mereka.

Jelas beliau, ia termasuklah menerusi insentif dan program yang diberikan oleh kementerian dan agensi lain seperti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Ekonomi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Kita tahu sebahagian daripada veteran ATM ini setelah melalui beberapa siri latihan melalui Perhebat, mereka melaksanakan program-program keusahawanan sebagai kerjaya kedua mereka. Memang kami dengan kerjasama KKDW, kami cuba untuk mengenal pasti usahawan-usahawan veteran ATM ini, ada 1,000 orang yang telah kami kenal pasti setakat ini di seluruh negara.

“Projek rintis program ini akan kami mulakan di Negeri Sembilan dan akan pergi ke Selangor dan kemudiannya ke Perak pada tahun ini. Puvet ATM akan menjelajah ke seluruh negara bagi mengenal pasti dan memadankan bentuk bantuan dan bimbingan keusahawanan yang diperlukan oleh veteran ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Puvet ATM di Kampung Baru Si Rusa di sini hari ini.

Sementara itu, Adly menambah, di Negeri Sembilan, Perhebat telah memantau seramai 1,200 orang veteran ATM yang telah tamat Latihan dan seramai 253 orang daripada mereka terlibat dalam perniagaan dan keusahawanan.

“Selepas latihan memang kami memantau mereka kerana memang modul kami untuk pantau dalam tempoh lima tahun, sebahagian usahawan-usahawan veteran ATM ini telah menjalankan perniagaan mereka dalam tempoh dua hingga lima tahun,” katanya.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyerahkan padanan geran bernilai RM5,000 di bawah inisiatif Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) oleh KKDW kepada lima orang usahawan veteran ATM di negeri ini.

“Setiap mereka akan menerima RM5,000 dalam bentuk barangan, ini mungkin boleh membantu mereka, kita tahu selepas pandemik Covid-19, sebahagian daripada mereka memerlukan bantuan sokongan perniagaan. 

Ada daripada mereka menjalankan perniagaan bakeri, kedai makan dan juga menjalan penternakan, sasaran kami pada tahun ini seramai 100 orang Veteran ATM di seluruh negara dibantu menerusi SPKLB,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN