KAJANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam perancangan untuk bekerjasama dengan Jabatan Penjara untuk membangunkan ‘program wanita bangkit bersasar’ dalam kalangan banduan.
Program ini bagi membantu banduan-banduan wanita mencari modal dan peralatan untuk menjana pendapatan sebaik diberikan Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program wanita bangkit ini dilaksanakan kementerian sejak tahun lalu dengan menyasarkan wanita khususnya suri rumah golongan berpendapatan rendah (B40) untuk menyertai program keusahawanan.
Malah, jelasnya, program ini berkemungkinan diperluaskan kepada banduan-banduan wanita yang berada di penjara.
Kata beliau, menerusi program ini, banduan-banduan ini akan diberikan insentif berjumlah RM500 secara ‘one-off’ dan bantuan peralatan bernilai RM2,700 bagi membantu mereka memulakan perniagaan berdasarkan kemahiran yang mereka pelajari ketika berada di dalam penjara.
“Ini salah satu program yang kementerian ada untuk kami bekerjasama dengan Jabatan Penjara. Bila kita hadir mengadakan lawatan di Penjara wanita ini, kita dapat idea baharu yang mana kita dapati program wanita bangkit yang kita mahu bangunkan ini mampu mencapai sasarannya.
“Insha-Allah ini mungkin akan menjadi satu program baharu buat kementerian dan Jabatan Penjara dan baru hari kita dapat idea itu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika melawat Penjara Wanita Kajang, di sini, hari ini.
Turut hadir dalam lawatan itu iaitu Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad.
Dalam lawatan itu, Nancy meluangkan masa melawat taska, bengkel salon, bengkel jahit, sekolah integriti, katering dan bengkel batik.
Sementara itu, Nordin berkata, pihaknya menyambut baik cadangan pelaksanaan inisiatif itu yang boleh memberikan peluang kedua kepada banduan dibebaskan secara berlesen atau Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
Kata beliau, secara keseluruhannya, terdapat seramai 3,885 banduan wanita di seluruh negara dan daripada jumlah itu, dianggarkan lebih 1,000 sahaja banduan tempatan manakala selebihnya warga asing.
“Dianggarkan hanya 10 peratus iaitu antara 100 hingga 200 banduan wanita akan dibebaskan secara berlesen pada satu-satu masa.
“Golongan ini yang kita mahu bantu dengan menghulurkan bantuan supaya mereka boleh menjana pendapatan sendiri dan mendapat penempatan pekerjaan untuk memulakan kehidupan baru,” ujarnya.
Nordin berkata, perkara yang dititikberatkan pihaknya adalah penempatan bagi banduan mereka dibebaskan dari penjara.
“Apa yang kita mahukan adalah banduan yang dibebaskan tidak masuk semula ke dalam penjara.
“Disebabkan itu, kita mahu menjadikan penjara sebagai pusat pembangunan peradaban budaya dengan memberikan mereka kemahiran supaya boleh menjana pendapatan apabila bebas nanti,” katanya.
Mengikut rekod, seramai 1,044 banduan wanita termasuk 428 banduan warga asing ditempatkan di Penjara Wanita Kajang.
Di taska, penjara itu turut menempatkan lima kanak-kanak termasuk tiga warga asing berusia tiga tahun ke bawah.-UTUSAN