PRN: PM teliti draf akhir dokumen perjanjian

PRN: PM teliti draf akhir dokumen perjanjian

ASYRAF Wajdi (kiri) bersama Anwar Ibrahim yang sedang meneliti draf akhir dokumen perjanjian - FB DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meneliti draf akhir dokumen perjanjian mengenai hasil rundingan kerusi-kerusi di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau membawa mandat Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk menyerahkan draf akhir dokumen tersebut kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

“Petang ini ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya membawa mandat Pengerusi BN untuk menyerahkan draf akhir dokumen perjanjian kepada Perdana Menteri untuk diteliti.

“Diteliti sebelum ditandatangani oleh kedua-dua Pengerusi PH dan Pengerusi BN mengenai hasil rundingan kerusi-kerusi yang dimuktamadkan bagi menghadapi pilihan raya di enam buah negeri bermula dengan Penamaan Calon 29 Julai minggu hadapan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, PRN bakal diadakan di enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Ia melibatkan 9,773,571 pemilih di enam negeri tersebut mengikut data terkini Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun lalu.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, rakyat yang cintakan kestabilan dan kemakmuran pasti mahukan kerajaan negeri-negeri seiring dengan Kerajaan Perpaduan dianggotai oleh 19 parti politik mewakili pelbagai agama, kaum dan termasuk Sabah serta Sarawak dengan teras utama adalah Islam dan Melayu-Bumiputera.

“Inilah wajah sebenar Malaysia yang aman, makmur dan stabil,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN