TUMPAT: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendedahkan Kelantan menjadi negeri tunggal yang menyelesaikan agihan kerusi antara Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk pilihan raya negeri (PRN) tanpa perlu campurtangan kepimpinan peringkat pusat.
Beliau berkata, bukan itu sahaja mesyuarat berterusan antara kedua-dua gabungan tersebut sudah bermula sebaik sahaja kerjasama di bentuk di peringkat pusat.
Menurutnya, situasi itu memberi petanda baik menunjukan kerjasama di peringkat bawah memahami saranan pucuk pimpinan tertinggi parti masing-masing.
“Ini menjadi harapan rakyat untuk melihat PH-BN masuk PRN secara bersama bagi memberikan pilihan terbaik kepada pengundi.
“Sebab itu itu, kita tidak boleh sebut macam mana keputusan nanti. Melihat kepada keadaan rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri dan kebersamaan kita (PH-BH) membuka peluang untuk lebih berjaya pada PRN,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Rafizi memberitahu, beliau akan terus membawa naratif berlandaskan fakta dalam mendidik rakyat melalui pencerahan menggunakan platform ceramah.
Katanya, jika usaha itu berjaya dia akan menjadi penanda aras yang akan diguna pakai pada pilihan raya selepas ini.-UTUSAN