PETALING JAYA: Politik negara akan menjadi kacau-bilau dan tidak stabil sekiranya UMNO diharamkan seperti mana didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa wujud rancangan yang didalangi oleh bekas pemimpin-pemimpin parti tersebut.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, UMNO tidak boleh diharamkan walaupun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bersetuju dengan dua pemimpin berkaitan.
“PMX (Anwar) mendedahkan Tun M (Dr. Mahathir) dan Muhyiddin mahu mengharamkan UMNO, Anwar tidak sokong. Percayalah, UMNO tidak boleh diharamkan. UMNO hanya boleh diharamkan kerana Tun M sendiri mahu UMNO haram tahun 1988.
“Itu pengharaman taktikal, guna undang undang memperjudikan nasib UMNO untuk survival politik Tun M. Oleh sebab itu, percubaan kedua beliau untuk bunuh UMNO dengan tubuh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak berjaya. Dia cuba guna Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), juga gagal,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Anwar sewaktu berucap pada siri Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Pekan Guar Chempedak, Jerai, Kedah mendakwa dua bekas Perdana Menteri sebelum ini merancang untuk mengharamkan UMNO ketika berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Dua pemimpin tersebut merujuk kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, Dr. Mahathir dan Muhyiddin menafikan pernah merancang untuk mengharamkan UMNO seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Tambun itu.
Namun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hanya bekas Ahli Parlimen Ketereh itu sahaja tidak tahu mengenai wujudnya cubaan mengharamkan UMNO.-UTUSAN