Polis Pahang kesan jualan bintang, darjah kebesaran Pahang tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Polis Pahang kesan jualan bintang, darjah kebesaran Pahang tanpa kebenaran

YAHAYA Othman (tengah) dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang mengesan aktiviti penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri ini secara dalam talian melalui satu platform e-dagang tanpa kebenaran.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, aktiviti tersebut dikesan berdasarkan laporan di terima Polis Pekan, 11 Julai lalu.

“Pihak polis sedang menjalan siasatan di bawah Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

“Di bawah seksyen ini, tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, membuat bagi maksud jualan atau menjual atau mempamer untuk jualan atau memiliki untuk dijual, apa-apa lambang, gelaran alau anugerah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, orang ramai dinasihatkan tidak memasang atau memaparkan lambang atau emblem darjah kebesaran negeri ini pada mana-mana bahagian kenderaan tanpa kebenaran bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3(1) (d) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

“Seksyen ini menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, mempamer atau melekatkan apa-apa bahan yang mengandungi apa-apa lambang, gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya kepada apa-apa kenderaan.

“Mana-mana individu yang disabitkan bagi kedua-dua kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM500,00 atau boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, polis negeri akan menjalankan operasi khas bagi mengesan pemilik kenderaan yang menampal lambang atau emblem negeri Pahang tanpa kebenaran sekali gus mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

“Individu yang memasang atau melekatkan apa-apa lambang atau emblem darjah kebesaran negeri Pahang pada mana-mana bahagian kenderaan disaran menanggalkannya atau mendapatkan kebenaran dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya