Op Kesan 2.0: 28 syarikat pengangkutan terima notis - Utusan Malaysia

Op Kesan 2.0: 28 syarikat pengangkutan terima notis

SAHARUDDIN Mohd. Kia (dua dari kiri) memperkatakan sesuatu kepada seorang pemilik sebuah syarikat pemborong pada Op Kesan 2.0 di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan 28 notis kepada syarikat pengangkutan di negeri ini melalui Op Kesan 2.0 sejak 8 Jun lalu.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, notis itu dikeluarkan bagi memastikan peningkatan harga dan caj yang berlaku mematuhi Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 12 notis pengesahan maklumat harga yang dikeluarkan tidak menunjukkan unsur kenaikan manakala 15 notis bertulis masih dalam siasatan.

“Sebanyak 28 notis telah dikeluarkan kepada syarikat penerima Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) iaitu 12 di Kuala Terengganu, enam di Dungun, empat di Kemaman serta tiga di Hulu Terengganu dan Besut.

“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 21(5) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana pihak syarikat gagal memberi maklum balas dalam masa empat hari,” katanya.

Saharuddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat pemeriksaan Op Kesan 2.0 ke atas sebuah syarikat pemborong di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Selain itu, beliau memberitahu, pemeriksaan terhadap 30 syarikat borong di seluruh negeri mendapati kesemua syarikat terlibat menikmati subsidi diesel seperti biasa dan tidak terkesan dengan kenaikan harga bahan api itu.

Justeru itu, Saharuddin berkata, pihaknya mengingatkan tiada alasan kepada peniaga di peringkat runcit mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati dengan alasan terjejas dengan penyasaran subsidi diesel.

“Apabila pemborong utama tidak menaikkan serta mengekalkan kos pengangkutan dan logistik, peniaga runcit tidak ada alasan untuk secara sengaja menaikkan harga barang.

“Para pengguna boleh membuat aduan kepada KPDN jika wujud salah laku berkaitan pelaksanaan SKDS atau kenaikan harga caj barangan dan bekalan di pasaran,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×