PETALING JAYA: Penahanan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor awal pagi tadi adalah bagi memastikan beliau hadir ke mahkamah bagi mendengar pertuduhan yang dihadapinya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, pihaknya mendapat arahan pertuduhan oleh Timbalan Pendakwa Raya terhadap Sanusi semalam sebelum meminta bantuan polis Kedah untuk memaklumkan perkara itu kepada beliau.
Namun, beliau berkata, Muhammad Sanusi disahkan tiada di Kedah sebaliknya berada di Kuala Lumpur dan akan hadir temu bual di sebuah stesen televisyen.
“Pihak kita cuba menghubungi beliau termasuk setiausaha dan pegawai medianya, namun, tiada maklum balas.
“Selepas itu, kita (polis) mendapat maklumat beliau berada di kawasan Mont Kiara kira-kira pukul 2.30 pagi dan di situ kita tahan bagi menentukan beliau hadir ke mahkamah bagi menghadapi dua pertuduhan terhadapnya,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Razarudin menegaskan, pertuduhan yang dilakukan terhadap Muhammad Sanusi dilakukan dalam tempoh yang singkat memandangkan kecenderungan mendatangkan kebencian dan membangkitkan tidak taat setia kepada raja.
Malah, jelas beliau, sebanyak 58 laporan polis diterima PDRM yang mana salah satunya dibuat oleh ahli Dewan Diraja Selangor terhadap kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkan Muhammad Sanusi.
“Pertuduhan yang dilakukan terhadap Sanusi terkait dengan Keputusan Yang di-Pertuan Agong mengenai kerajaan perpaduan dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai pemilihan Menteri Besar Selangor.
“Berbeza dengan kenyataan dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang tidak menyentuh institusi diraja.
“Kecederungan kes ini jelas menghina dan membangkitkan kemarahan terhadap institusi diraja dan menyebabkan tindakan diambil,” jelasnya.
Dalam pada itu, Razarudin menegaskan, siasatan membabitkan Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 adalah satu kesalahan yang lazimnya membolehkan tangkapan dilakukan.
“Kalau tanya saya, bila-bila sahaja kita boleh tangkap. Kita ada pertimbangan kita. Kalau kita rasa beliau tidak hadir ke mahkamah, itu sebabnya kita tahan,” jelasnya
Dalam perkembangan berasingan, Razarudin mengesahkan siasatan membabitkan Guan Eng dan Abdul Hadi mencapai 70 peratus lengkap dan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya semalam.
“Ada lagi beberapa maklumat dan data forensik yang kita perlukan dan disebabkan itu siasatan kita masih teruskan,” katanya.-UTUSAN