PN cuba kelirukan rakyat, PRN bukan referendum - Utusan Malaysia

PN cuba kelirukan rakyat, PRN bukan referendum

Abdul Halim Suleiman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) didakwa cuba mengelirukan rakyat, khususnya pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang dengan mengatakan ia adalah referendum rakyat bagi kerajaan perpaduan.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, pembangkang cuba menggunakan kesempatan itu bagi meraih sokongan pengundi, termasuk dengan melakukan provokasi terhadap calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Namun, beliau yakin rakyat sudah matang dan sedar dengan kelemahan pembangkang, terutamanya ketika mereka mentadbir negara sebelum ini.

“Sebarang keputusan tidak akan menjejaskan pentadbiran kerajaan Persekutuan. Jadi, tindakan mereka (PN) bermain dengan emosi rakyat adalah satu cubaan mengelirukan dan itu tidak sepatutnya dibuat.

“Sebaliknya, rakyat juga sudah semakin bijak untuk membuat keputusan dengan berfikir tentang impak keputusan mereka, bukan hanya mengikut emosi semata-mata,” katanya mengulas kenyataan  Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan PRN kali ini sebagai referendum atau pungutan rasmi suara rakyat terhadap kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan replika kunci Bangunan UMNO Bahagian Tebrau, di sini.

Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau mahu pengundi, khususnya yang pertama kali menunaikan tanggungjawab itu untuk membuat penilaian, menyemak fakta dan menggunakan kebijaksanaan ketika memilih wakili rakyat di kawasan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN