PM mahu penjawat awam bersama lawan rasuah, selamatkan negara - Utusan Malaysia

PM mahu penjawat awam bersama lawan rasuah, selamatkan negara

Kerajaan akan memberi insentif awal RM2,000 kepada penjawat wam gred 56 dan ke bawah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perdana Menteri meminta penjawat-penjawat awam di negara ini untuk bersama dalam usaha kerajaan ketika ini untuk menyelamatkan negara terutamanya dalam melawan rasuah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, negara pernah melalui keadaan termasuk ekonomi yang baik namun merosot kerana budaya mendapatkan habuan daripada kedudukan dan jawatan yang diperoleh.

“Kita mesti jaga amanah dan jangan khianati amanah ini, jangan guna kuasa selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan atau Menteri Besar atau Menteri untuk mengaut kekayaan. 

“Negara ini kaya, pernah mencatat satu keadaan yang jauh lebih baik walaupun tidak sepenuhnya cemerlang namun merosot kerana budaya kita, siapa yang ada kuasa, siapa yang jadi Perdana Menteri maknanya isteri dia, anak dia, keluarganya, kroninya, semua akan dapat habuan.

“Saya percaya dan minta penjawat awam untuk berikan kerjasama dan sokonglah langkah selamatkan negara kita, kerana apa yang kita lakukan ini adalah untuk selamatkan negara kita daripada kecelaruan. Bagaimanaka kita mahu selamatkan? adalah dengan menjaga khazanah ini dengan penuh amanah,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan  Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr. Zulkapli Mohamed.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, tidak guna untuk sesetengah pihak berucap dalam soal selamatkan orang Melayu dan selamatkan Islam namun negara ini dipimpin oleh individu yang mahu ‘menyakau’ harta rakyat.

“Bagaimana kita boleh selamatkan Melayu kalau pemimpin-pemimpin tidak amanah, tentang Islam bagaimana yang kita mahu tonjolkan kalau tidak menjadi contoh mengurus negara dengan baik.

“Orang kata Anwar keras sangat mengenai rasuah, setiap pidato cakap soal rasuah, sebab rasuah ini sudah menular, yang hilang berpuluh bilion ringgit, mana boleh negara diurus kalau kita selamatkan orang yang sakau berbilion-bilion ringgit,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri sekali menegas dan menempelak pihak-pihak yang mendakwa kerajaan ditadbirnya ketika ini merupakan kerajaan yang anti Islam

“Saya tidak datang ke sini untuk pertahankan DAP, tetapi saya tengok pengalaman saya sekarang dalam kerajaan dengan kepemimpinan PH, UMNO dan DAP, kita buat keputusan, tidak pernah berlaku dalam sejarah, peruntukan untuk agama Islam lebih tinggi sekarang berbanding dahulu.

“Bantuan untuk sekolah agama rakyat yang dahulu dibatalkan sama sekali sama sekali oleh Tun Mahathir, tetapi saya memilih untuk berbeza, kita akan bantu semua sekolah agama rakyat.

“Di mana yang kata kita anti Islam, di mana? dalam semua langkah ini termasuk langkah besar menyelamatkan Felda, pimpinan UMNO berikan sokongan solid,  DAP sokong solid langkah kita untuk selesaikan hutang piutang Felda, di mana pengkhianatan DAP dalam hal ini?,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN