KANGAR: Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan UDA Holdings Berhad (UDA) sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan di tapak pembinaan Menara K-Parc bagi menggelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Menurut sumber PKENPs dan UDA, setakat ini, pihak mereka tidak menerima sebarang laporan berhubung isu sisa kayu menghempap kenderaan orang awam seperti dakwaan peniaga di kawasan berkenaan.
Katanya, sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, pihak mereka pastinya menerima makluman atau saman daripada individu yang terbabit dengan insiden tersebut.
“Selain itu, tapak pembinaan menara ini juga berada di dalam kawasan yang dipagar dan mempunyai jarak tertentu bagi memastikan tidak timbul sebarang isu berkaitan keselamatan,” katanya.
Mengulas mengenai isu habuk, sumber berkata, bagi pelaksanaan pembangunan projek fasa 2B iaitu bangunan menara dan kompleks beli-belah, isu debu pastinya akan berlaku seperti mana membabitkan pembinaan perumahan di dalam sesebuah taman.
Jelasnya, kawasan tapak pembinaan itu juga adalah berpagar dan isu membabitkan anjing liar berkeliaran tidak sepatutnya timbul seperti mana dakwaan pihak terlibat.
“Sekiranya memang terdapat anjing liar berkeliaran, isu itu sepatutnya diadukan kepada Jabatan Veterinar atau Jabatan Kesihatan bagi membolehkan tindakan dikenakan kepada pemaju.
“Namun buat masa ini, PKENPs dan UDA tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara itu,” katanya.
Dalam pada itu, sumber berkenaan memaklumkan projek menara itu mengambil masa yang lama berikutan beberapa faktor antaranya membabitkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan pembinaannya dihentikan sementara.
Katanya, buat masa ini, PKENPs bersama UDA sedang berusaha dengan sebaiknya bagi mempercepat pembinaan dan pembangunan menara berkenaan.
“Pembangunan menara dan pusat membeli-belah ini dijangka mula beroperasi sekitar tahun depan,” katanya.
Tambahnya, PKENPs bersama UDA bersedia untuk menutup jalan belakang di kawasan itu sekiranya isu berkenaan timbul malah setiap urusan orang awam akan lebih selamat dan mereka boleh memakirkan kenderaan di tepi jalan raya.-UTUSAN