Penyelewengan minyak diesel ditumpaskan, rampasan lebih RM83,000 - Utusan Malaysia

Penyelewengan minyak diesel ditumpaskan, rampasan lebih RM83,000

LORI tangki antara yang disita KPDN Negeri Sembilan dalam Op Tiris di Kampung Jimah, Port Dickson kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kegiatan sebuah premis terbuka di Kampung Jimah di sini yang menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi terbongkar kelmarin dalam Op Tiris yang dijalankan.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan dan tindakan telah dijalankan oleh Pasukan Markas Polis Marin Wilayah Dua, Johor Bahru, Johor pada pukul 9.30 malam selepas mengesan pergerakan sebuah lori tangki yang mencurigakan.

“Sebanyak 15,000 liter minyak diesel yang bernilai RM32,250 termasuk sebuah lori tangki dan sebuah lori kargo tiga tan dengan empat empat unit tangki Intermediate Bulk Containers (IBC) telah disita dalam serbuan tersebut yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM83,750.

“Dua orang lelaki warga tempatan berusia 35 dan 39 tahun turut ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada pemberita hari ini.

Muhammad Zahir berkata, satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes itu sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti tersebut serta rantaian pengedaran minyak diesel termasuklah sumber minyak diperoleh dan diedarkan. 

“Selain itu, KPDN Negeri Sembilan akan menggandakan tindakan di bawah Op Tiris dengan risikan dan pemantauan ke atas stesen-stesen minyak dan lori-lori yang disyaki terlibat dengan penyelewengan minyak diesel,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN