Penukaran agama unilateral: Permohonan mencelah didengar

Penukaran agama unilateral: Permohonan mencelah didengar 4 September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan (BPSWP) untuk mencelah dalam permohonan guru tadika, M. Indira Gandhi yang mencabar beberapa peruntukan enakmen berhubung penukaran agama kanak-kanak secara unilateral akan didengar pada 4 September ini.

Sehubungan itu, peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili MAIWP memberitahu, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid memerintahkan agar pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan masing-masing sebelum atau pada 24 Julai ini.

Selain itu, Zainul Rijal turut memaklumkan Hakim Ahmad Kamal membenarkan permohonan plaintif untuk mengetepikan Kerajaan Negeri Pahang sebagai salah seorang defendan dalam tuntutan tersebut.

Pada prosiding hari ini, MAIWP turut diwakili peguam, Danial Farhan Zainul Rijal manakala kesemua plaintif diwakili peguam-peguam, Sachpreetaj Singh Sohanpal dan U. Lusinthra Pillai.

Turut hadir ialah Penasihat Undang-Undang Perlis, Mohd. Radhi Abas yang turut menyebut bagi pihak kerajaan negeri Kedah, Melaka, Pahang dan Perak.

Pada 3 Mac lalu, Indira, sebuah pertubuhan agama dan 12 individu memfailkan saman pemula itu bagi mencabar beberapa peruntukan enakmen di lapan buah negeri berhubung penukaran agama kanak-kanak secara unilateral (sebelah pihak) sebagai tidak sah.

Selain Indira, turut menjadi plaintif ialah Pertubuhan Agamam Ani, bekas pengerusi Malaysia Hindu Sangam dan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST), S. Mohan dan Pengerusi Indira Gandhi Action Team (INGAT), D. Arumugam. 

Individu-individu yang menjadi plaintif mendakwa mereka adalah mangsa kepada penukaran agama secara unilateral.

Menurut afidavit yang difailkan, plaintif menyatakan semua penukaran unilateral yang berlaku di Malaysia dari tarikh keputusan Indira adalah terbatal kerana melanggar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan pasangan yang memeluk Islam manakala pasangannya bukan beragama Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mengetepikan keputusan berhubung penukaran agama tiga anak Indira secara satu pihak oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, (dahulu dikenali sebagai K. Pathmanathan), yang merupakan seorang mualaf.

Menurut plaintif, dengan keputusan itu, sebarang penukaran kanak-kanak bawah umur kepada mana-mana agama secara unilateral tanpa kebenaran kedua-dua ibu bapanya adalah tidak berperlembagaan.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon perisytiharan bahawa amalan penukaran agama secara unilateral adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya