Peniaga Larkin Sentral terjejas kebakaran terima sumbangan RM5,000 - Utusan Malaysia

Peniaga Larkin Sentral terjejas kebakaran terima sumbangan RM5,000

MOHD. HAIRI MAD SHAH (kiri) meninjau operasi memadam kebakaran di Larkin Sentral, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd., (PUJB) akan memberi sumbangan kecemasan berjumlah RM5,000 kepada setiap peniaga yang premis mereka terjejas dalam kebakaran di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, sumbangan itu bertujuan mengurangkan beban kerugian yang dialami mereka.

“Bantuan fasa pertama ini adalah bagi mengembalikan semangat pengusaha untuk kembali meneruskan perniagaan mereka, khususnya kepada empat premis yang terjejas.

“Selain sumbangan kecemasan ini, kerajaan negeri juga akan cuba bantu mereka yang terlibat menerusi pemberian geran ataupun pinjaman perniagaan,” katanya selepas melawat lokasi kejadian, di sini yang turut dihadiri Penolong Pengarah (Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat) JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.

Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin turut memberitahu, jumlah kerugian keseluruhan kejadian itu hanya akan dapat diperoleh selepas penilaian dilakukan pihak berwajib.

“Jabatan Kerja Raya akan datang untuk sama-sama membuat penilaian kos kerugian, perkara itu akan diumumkan kemudian,” katanya sambil memuji tindakan pantas pasukan bomba dan penyelamat serta pihak polis bagi memastikan kebakaran dapat dikawal segera.

“Saya ucapkan terima kasih kepada bomba yang dapat mengawal kebakaran dengan pantas agar tidak merebak ke kawasan lain dan juga pihak polis yang berjaya mengawal keadaan daripada menjadi kecoh. Saya ucapkan tahniah kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Faiz Suleiman memberitahu, pihaknya mendapat maklumat tentang kejadian itu pada pukul 6.50 pagi.

Seramai 27 pegawai dan anggota berserta lima jentera dikejarkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran yang dipercayai bermula dari sebuah kedai bahan bacaan di tingkat atas premis berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN