Pengundi muda perlu pilih parti terbukti cekap urus kerajaan negeri

Pengundi muda perlu pilih parti terbukti cekap urus kerajaan negeri

ADAM Adli Abd. Halim (empat dari kanan) beramah mesra bersama peserta-peserta pada Majlis Perasmian Pelepasan Malaysia-China Youth TVET Training 2023 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Golongan muda yang bakal menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri tidak lama lagi perlu mempertimbangkan parti yang terbukti cekap dan mempunyai rekod baik sebagai pilihan mereka. 

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim berkata, pelbagai isu sedang mendepani golongan muda ketika ini seperti keperluan semasa dan fasiliti dan ia hanya dapat diselesaikan dengan mengangkat pihak yang cekap sebagai kerajaan negeri.

“Ini semua boleh dicapai dan diselesaikan dengan cara memastikan kerajaan negeri tertubuh dengan mengangkat pihak yang kompeten dan mempunyai track record yang baik. Bagi konteks Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor, semua sudah dilaksanakan ketika ini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelepasan Peserta Malaysia-China Youth TVET Training 2023 di sini hari ini.

Adam Adli dalam pada itu menambah, bagi memastikan golongan pengundi muda dapat ramai menjalankan tanggungjawab pada PRN nanti, mereka perlu diberikan keyakinan bahawa ‘pelaburan’ masa dan tenaga mereka itu dapat memberikan pulangan yang baik.

“Masalahnya, bukan hanya semata-mata orang tidak suka politik, tetapi orang mahu tahu undi mereka itu dapat diterjemahkan menerusi manfaat kepada mereka. Bagi mengatasi masalah tersebut, kita beri jawapan dan kita pandang apa yang diusahakan oleh kementerian dan apa yang diusahakan oleh kerajaan.

“Dalam konteks PRN ini adalah untuk menentukan siapa jadi kerajaan bagi peringkat negeri, ia berkait rapat dengan kehidupan harian, kerajaan negeri menentukan dasar-dasar, pihak berkuasa tempatan.

“Oleh itu, penting untuk memilih sebuah kerajaan negeri yang kompeten yang ada kesediaan untuk memerintah dan tahu untuk atasi masalah rakyat,” katanya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN