Pengarah syarikat didakwa gagal selenggara buku stok diesel - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat didakwa gagal selenggara buku stok diesel

TAN Kok Keong (kiri) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi berdepan dua pertuduhan gagal menyelenggara buku stok bagi barangan berjadual iaitu minyak diesel.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pengarah sebuah syarikat hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas dua pertuduhan gagal menyelenggara buku stok bagi barangan berjadual, iaitu minyak diesel.

Tertuduh, Tan Kok Keong, 69, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mazni Nawi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemborong telah gagal untuk menyelenggara buku stok bagi setiap pembelian barang berjadual iaitu minyak diesel yang tidak mengandungi harga jualan, harga belian dan alamat pembeli.

Ia sekali gus telah melanggar Peraturan 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Tertuduh sebagai pengarah syarikat dituduh melakukan kesalahan itu di Kuala Sawah, Rantau, kira-kira pukul 10.32 pagi pada 27 Mac lalu.

Oleh itu, dia telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan- Peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ia memperuntukkan denda tidak lebih RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh sebagai pengarah syarikat telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dibaca bersama Seksyen 22(4) Akta Kawalan Bekalan 1961, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Janawatul Fieza Hamisan dan Nazarudin Zainudin manakala tertuduh diwakili peguam, Eric Yeow Kok Heng.

Hakim kemudiannya menetapkan 9 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pengurusan serta serahan dokumen.

Terdahulu, KPDN Negeri Sembilan memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual (diesel bersubsidi) agar mematuhi perundangan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) termasuklah didakwa di mahkamah.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN