Penduduk mahu Mohamad Rafie jadi calon di Ampangan - Utusan Malaysia

Penduduk mahu Mohamad Rafie jadi calon di Ampangan

Penduduk dari Taman Murugasu dan Ampangan Hill di Seremban berkumpul dan mengadakan sidang akhbar hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap pengumuman calon PH yang bertanding di DUN Ampangan pada PRN nanti-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penduduk dari Taman Murugasu dan Ampangan Hill dekat sini menyuarakan bantahan mereka berhubung individu yang ditampilkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan PADA Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi. 

Pengerusi Persatuan Penduduk Murugasu Garden dan Ampangan Hill (MGAH) Safian Ramli berkata, penduduk menganggap wakil rakyat mereka sebelum ini iaitu Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek lebih layak untuk dicalonkan sekali lagi di kerusi berkenaan.

Kata beliau lagi, penduduk juga telah menjalankan undian secara dalam talian dalam kalangan penduduk bagi mengetahui siapakah pilihan masing-masing sebagai calon dari PH pada PRN nanti di Ampangan.

“Keputusan undian yang dijalankan dalam aplikasi WhatsApp menunjukkan sokongan penuh kepada Mohamad Rafie sebanyak 265 undi manakala Tengku Zamrah pula sebanyak 11 undi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Julai lalu mengumumkan senarai calon yang akan mewakili parti itu bagi bertanding di 60 buah kerusi DUN pada PRN di enam buah negeri kelak atas tiket PH.

Ia termasuk calon di enam buah kerusi DUN di Negeri Sembilan iaitu Sikamat, Ampangan, Labu, Pilah, Chuah dan Sri Tanjung.

Anwar mengumumkan Ketua Wanita Keadilan Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman sebagai calon di DUN Ampangan. 

Ia sekali gus menyaksikan Mohamad Rafie bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri tidak dicalonkan semula di kerusi berkenaan.

Safian dalam pada itu berkata, penduduk sememangnya terkejut dengan pencalonan Tengku Zamrah tersebut.

“Kami tidak mengenali siapa dia. Lagipun Mohamad Rafie telah bekerja untuk kami sepanjang lima tahun ini termasuk ketika negara menghadapi pandemik Covid-19. Beliau telah banyak melaksanakan pembangunan dan sentiasa menyokong pelbagai program yang dilaksanakan oleh penduduk,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN