Penduduk Kampung Pantai Kundor bantah bina jeti sementara

Penduduk Kampung Pantai Kundor bantah bina jeti sementara

PENDUDUK membuat bantahan terhadap projek yang didakwa pembinaan jeti untuk memunggah arang batu di Kampung Pantai Kundor, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 30 Julai: Pembinaan sebuah jeti sementara di Kampung  Pantai Kundor di sini meresahkan kira-kira 100 penduduk yang tinggal sekitar kawasan tersebut.

Penduduk berkenaan membawa sepanduk serta membantah pembinaan jeti yang kini dalam pembinaan.

Penduduk mendakwa mereka tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak berhubung pembinaan jeti berkenaan dan tidak terdapat papan tanda didirikan memaklumkan mengenai projek itu.

Seorang nelayan Roslan Sidi, 64, berkata, pembinaan jeti berkenaan menjejaskan pendapatan orang kampung khususnya pencari udang geragau dan menjaring menangkap ikan di laut.

“Kami buat bantahan ini kerana  tidak tahu apa yang mereka buat selain tidak ada perjumpaan sesama penduduk memaklumkan mengenai pembinaan jeti sementara,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Seorang penduduk Mohd. Rizal Mohd. Talib, 47, pula mendakwa ada desas-desus yang mengaitkan pembinaan jeti itu bakal dijadikan lokasi pemunggahan arang batu.

Katanya, jika perkara itu benar kawasan tersebut bakal berlaku pencemaran alam sekitar yang teruk di Kampung Pantai Kundor sebagaimana pernah berlaku di Tanjung Bruas dan Tanjung Bidara.

“Sepatutnya projek pembinaan ini harus dihentikan kita penduduk kampung tidak mahu kejadian yang sama terjadi bila dibantah dari Tanjung Bruas pindah ke Tanjung Bidara dan kini pindah ke Kampung Pantai Kundor.

“Ini tempat pelancong macam mana boleh lulus bina jeti sementara yang katanya untuk tempoh tiga ke empat tahun. Kita nak tahu jeti ini dibina untuk apa sebenarnya,” ujarnya.

Bagi seorang lagi penduduk Yaakob Mohd. Dom, 57, pula berkata, dia menyangkakan projek yang dijalankan itu adalah untuk kerja-kerja pelebaran longkang melibat jentera berat memunggah bongkah batu ke  pesisir pantai.

“Kita penduduk tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak atau  berbincang mengenai projek ini. Kami penduduk difahamkan ini  adalah projek bina jeti sementara,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN