KUALA TERENGGANU: Pemuda Pas Terengganu hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Mohd. Harun Esa berkata, laporan itu dibuat berhubung ucapan Ahmad Zahid di sebuah program di Dungun, dekat sini, Jumaat lalu yang didakwa berunsur sogokan.
Menurut beliau, pihaknya menyerahkan kepada SPRM bukti video yang tular dan ditonton orang ramai selain respon pemimpin-pemimpin parti politik yang lain.
“Kenyataan Ahmad Zahid itu begitu membimbangkan dan jelas menyebut siri bantuan yang akan ditambah jika golongan belia mengikut gelombang biru dan merah pada 12 Ogos.
“Kita tidak mahu nafi bantuan berkenaan, namun yang menjadi persoalan ia dibuat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berdekatan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Dengan bukti jelas yang diserahkan kepada SPRM, kita harap siasatan telus akan dibuat dan yakin boleh sabit kesalahan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di sini, hari ini.
Mohd. Harun menjelaskan, ucapan itu jelas bertentangan dengan misi yang kononnya diperjuangkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) iaitu melawan rasuah.
Malah, Mohd. Harun berkata, ia bukti jelas cubaan Ahmad Zahid untuk mempengaruhi pengundi bagi mendapatkan undi pada PRN Terengganu, bulan depan.
Ahmad Zahid selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebelum ini dilaporkan bersetuju menyediakan geran tambahan RM100,000 kepada persatuan belia bagi pembangunan aktiviti di Terengganu.
Perkara itu diumumkan ketika Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah di Dungun, Jumaat lalu.
Turut diumumkan dalam majlis sama adalah dana sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.-UTUSAN