TEMERLOH: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal sebagai langkah positif terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, selama 45 tahun baginda menjadi Tengku Mahkota sebelum ini, belum ada lagi usaha untuk merizabkan satu kawasan yang besar di atas nama Sultan dan Tengku Mahkota.
“Masa dulu yang selalu namakan nama saya ialah air terjun sahaja. Itu sahaja saya boleh ingat untuk dalam hutan dan ini satu kawasan yang luas, 134,000 hektar di Gunung Ais dan di sini kawasan rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal.
“Saya harap kawasan yang dicadangkan ini diwartakan dan diselenggarakan dengan sebaik mungkin. Kita jadikan ia sebagai satu contoh kepada dunia supaya dapat kita memelihara alam sekitar, habitat untuk spesies Harimau Malaya dan binatang lain,” titah baginda dalam majlis Pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pusat Biodiversiti Lanchang di sini, semalam.
Turut mencemar duli Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
“Ia harus dipelihara untuk jangka masa panjang bukan jangka pendek. Jadi ini adalah harapan dan permintaan saya untuk melihat pendekatan ini di mana kerajaan negeri perlu meneliti pelbagai aspek sebelum meluluskan apa jua bentuk projek sama ada di kawasan berbukit, kawasan pulau mahupun daratan,” titah baginda.
Seri Paduka turut menyentuh mengenai cadangan kepada kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Sumber Asli untuk membuat perancangan jangka panjang tentang soal kawasan takungan air.
“Saya harap kementerian kenal pasti kawasan yang boleh digazetkan untuk takungan air dan boleh dibekalkan kepada negeri sekitar termasuk Pahang sendiri. Harap dapat kaji dengan teliti dan perlu perancangan terperinci, titahnya.” – UTUSAN










