Pemandu lori miliki dua rekod kesalahan - Utusan Malaysia

Pemandu lori miliki dua rekod kesalahan

PEMANDU lori tangki yang merempuh sebuah bas sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak di simpang empat lampu isyarat, Kilometer 138.3, Jalan Johor Bahru-Seremban, Pekan Chaah, Segamat semalam mempunyai dua rekod kesalahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Pemandu lori tangki yang menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan empat yang lain parah mempunyai dua rekod kesalahan lalu lintas.

Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, kesalahan tersebut ialah kegagalan mengawal kenderaan pada Mei tahun lalu dan membawa muatan berat pada Januari tahun ini.

“Siasatan masih dilakukan dan kita mendapati pemandu lori itu memiliki dua kesalahan lalu lintas sebelum ini. 

“Reman terhadap pemandu warga emas berusia 62 tahun itu tidak dapat dilakukan ketika ini kerana keadaan kesihatannya yang masih tidak mengizinkan.

“Pemandu berkenaan mengalami pendarahan otak selain kecederaan pada bahagian tengkuk dan patah rusuk serta masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Keadaannya itu juga menyebabkan ujian saringan air kencing terhadap pemandu tersebut belum dapat dilakukan.

Semalam media melaporkan pemandu lori tangki yang melanggar lampu isyarat merah menjadi punca utama mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki dalam kemalangan kira-kira pukul 7.30 pagi di simpang empat lampu isyarat, Kilometer 138.3, Jalan 

Johor Bahru-Seremban, Pekan Chaah, di sini.

Lori tangki yang dalam perjalanan dari Segamat menuju Johor Bahru itu dipercayai gagal mematuhi isyarat isyarat merah lalu melanggar bahagian kanan sebuah bas yang sedang keluar dari simpang empat untuk menghala ke arah Segamat. 

Selain kanak-kanak malang itu, M. Eswaran, dua lagi penumpang wanita termasuk ibu mangsa, M. Kaladevi, 43, patah kaki, manakala pemandu bas berusia 59 tahun cedera pada bahagian kepala dan badan.

Kes  disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN