ISKANDAR PUTERI: Seorang pekerja kilang kerugian sebanyak RM87,400.90 kerana terpedaya dengan skim pelaburan yang diiklankan dalam kumpulan WhatsApp Kem Latihan Amali Untung Stabil Pasaran Saham.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pengadu yang berusia dalam lingkungan 40-an membuat laporan tentang kejadian itu, semalam.
“Pengadu memaklumkanñ tertarik menyertai pelaburan tersebut pada 4 Mei lalu apabila dimaklumkan boleh mendapat keuntungan sehingga RM180,000 hanya dalam tempoh sebulan.
“Pengadu mula membuat pelaburan buat kali pertama pada 12 Jun lalu. Namun apabila pengadu mahu keseluruhan keuntungan pelaburan dijanjikan, dia diarah membayar cukai sebanyak RM24,000.
“Selepas membuat bayaran cukai tersebut, pengadu terus tidak dapat berhubung dengan suspek menerusi WhatsApp, selain turut terkilan kerana disingkir daripada kumpulan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Rahmat berkata, pengadu hanya menyedari telah menjadi mangsa penipuan semalam setelah mengalami kerugian sebanyak RM87,400.90, melibatkan duit pelaburan dan cukai dibayar.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Setakat ini, kes ini adalah pertama yang diterima berkaitan skim pelaburan seperti itu.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dalam membuat pelaburan. Mereka tidak seharusnya mudah gelap mata dan tamak dengan tawaran dijanjikan dan mengambil jalan mudah dalam meraih keuntungan,” katanya. – UTUSAN