KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap Parlimen Malaysia dapat dibebaskan daripada kuasa eksekutif menerusi penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen.
Di bawah akta itu, antara lain, Parlimen diberi kebebasan menguruskan pentadbiran kewangan serta menentukan jumlah perbelanjaannya sendiri.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu mengingatkan kerajaan supaya tidak menganggap telah berjaya menguruskan negara, namun Parlimen masih jauh ke belakang dalam aspek penggubalan undang-undang.
HAK
“Kita tidak mempunyai undang-undang untuk mewujudkan hak dan kebebasan Parlimen itu sendiri. Pegawai Parlimen kita masih berkhidmat dengan kerajaan dan duitnya datang dari Kementerian Kewangan. Pegawainya di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
“Jadi, di mana kebebasan Parlimen? Di manakah autoriti dan kuasa untuk memantau badan eksekutif jika kita sendiri tidak bebas? Maka, adalah amat kritikal untuk Parlimen mendapatkan kebebasannya sendiri,” katanya semasa ucapan sempena Majlis Interaksi Bersama Yang Dipertua Dewan Negara di Parlimen, semalam.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, beliau telah berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyuarakan perkara itu.
Katanya, dalam kalangan negara-negara Komanwel, Malaysia adalah satu-satunya negara yang tidak mempunyai Akta Perkhidmatan Parlimen.
“Saya berfikir Singapura tidak ada, rupanya ada. Bayangkan, daripada seluruh negara-negara Komanwel, kita yang tiada lagi.
“Sebab itu saya beritahu kepada Anwar dan Johari, saya ini lebih daripada tiada apa-apa selain seorang yang duduk di atas kerusi Dewan Negara.
“Jadi, sudah tiba masanya Parlimen Malaysia diangkat ke taraf yang sama dengan negara lain, jadi, sikap dan pengisiannya kita boleh buat selepas ini namun lebih bebas,” katanya.
Wan Junaidi memulakan langkah memperkenal semula Akta Perkhidmatan Parlimen sejak dilantik menjadi Menteri Undang-Undang pada 2021, di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) dimansuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1992, dan merupakan salah satu janji reformasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak ditepati selama 22 bulan berkuasa.
Selepas dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Negara, Wan Junaidi sekali lagi membangkitkan akta tersebut untuk diperkenal semula pada 11 Julai lalu. – UTUSAN










