Nilai aset kerajaan lebih RM1 trilion - Utusan Malaysia

Nilai aset kerajaan lebih RM1 trilion

AHMAD MASLAN menerima cenderamata daripada Timbalan Ketua Pengarah JPPH (Operasi), Rosni Nawati Ngah sempena lawatan kerja ke JPPH Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Nilai aset kerajaan dalam bentuk tanah dan bangunan ketika ini melebihi RM1 trilion.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penilaian itu dibuat oleh Jabatan Akauntan Negara dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi tempoh 10 tahun sejak 2013.

Menurutnya, nilai aset tersebut dijangka terus meningkat ekoran proses pengiraan aset-aset lain masih dilakukan termasuk di luar negara.

“Pengiraan nilai aset sebanyak lebih RM1 trilion itu melibatkan aset tanah dan bangunan kerajaan, tidak  termasuk aset lain seperti loji dan jentera.

“Begitu juga aset luar negara yang masih belum dinilai. Kita jangka ia akan terus meningkat dengan pertambahan RM30 bilion tahun ini,” katanya selepas lawatan kerja ke JPPH Johor, di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, proses penilaian sentiasa dilakukan bagi mengenal pasti jumlah keseluruhan nilai aset kerajaan yang diharap akan melebihi hutang negara yang mencecah RM1.5 trilion.

“Saya harap nilai aset kita lebih banyak daripada nilai hutang termasuk liabiliti yang kini mencecah RM1.5 trilion.

“Walau bagaimanapun, kita tidak dapat menjangkakan bila proses penilaian ini akan berakhir kerana ia masih disemak. Jadi penilaian harta kita hanya boleh buat anggaran setakat ini,” jelasnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, hutang negara termasuk liabiliti telah mencecah RM1.5 trilion dan perlu ditangani dengan segera.

Ahmad berkata, rakyat selalu didedah dengan jumlah hutang negara sedangkan aset kerajaan juga ada banyak.

“Bagi Johor, aset Kerajaan Pusat yang sudah dinilai merangkumi RM24 bilion bagi Kementerian Pendidikan, terdiri daripada sekolah-sekolah dan RM9.2 bilion bagi Kementerian Pertahanan membabitkan kem-kem tentera dan tanah kementerian.

“Kementerian Kesihatan pula dengan hospital dan klinik mencecah RM8.7 bilion, ibu pejabat polis dan balai-balai polis di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebanyak RM3.4 bilion dan Jabatan Perdana Menteri (RM3.3 bilion),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya