PETALING JAYA: “Hendak cepat kaya, tidak mahu susah.” Itulah punca kepada berleluasanya amalan Ali Baba dalam ekonomi negara sehingga membawa kerugian berbilion ringgit.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Kewangan Islam di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Ahmad Zakirullah Mohamed Saarani berkata, kegiatan itu juga sudah berlaku sejak sekian lama dalam pelbagai bidang seperti peruncitan, perindustrian, pembinaan dan hartanah.
Justeru, katanya, pendirian kerajaan untuk membanteras kegiatan tersebut adalah sesuatu yang dinanti-nantikan kerana sudah banyak kerosakan yang berlaku.
Beliau berkata, kegiatan itu juga berlaku tanpa sebarang tindakan susulan daripada pihak berkuasa sehingga ia menjadi seolah-olah satu ‘budaya’ di negara ini.
“Ini sudah berlaku dari dulu lagi dan ramai yang mungkin nak cepat kaya, tidak mahu susah, jadi pajakkan lesen senang dapat duit. Lama-kelamaan, ia menjadi masalah besar dan menjadi barah.
“Sebab itu, kerajaan perlu mengambil tindakan drastik untuk menangani perkara ini, tetapi ia bukan semudah itu, kerana kita juga perlu mengubah mentaliti masyarakat dan ini sesuatu yang mencabar,” katanya ketika dihubungi.
Pada masa sama, katanya, kegiatan Ali Baba juga mengundang kepada kegiatan rasuah kerana berpeluang untuk memajakkan lesen dengan nilai tinggi.
“Dalam soal ini, track record dan pemantauan boleh dibuat bagi memastikan pemegang lesen benar-benar aktif dalam bidang yang diceburi. Lesen yang dipegang sepatutnya digunakan untuk memajukan ekonomi, keluar dari kepompong kemiskinan serta membantu orang lain,” katanya.
Beliau mengulas keputusan kerajaan merangka dasar serta strategi
perundangan bersesuaian untuk membanteras kegiatan ‘Ali Baba’ (rent-seeking) yang meninggalkan kesan negatif kepada ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, budaya Ali Baba memberi kesan negatif kepada ekonomi dan kerajaan serius untuk menangani serta membasmi aktiviti tersebut.
Katanya, anggaran kerugian mencecah sekitar satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota serta pemberian subsidi dan geran.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob menyifatkan kegiatan Ali Baba menyebabkan golongan tertentu mengaut keuntungan luar biasa sehingga meminggirkan kaum bumiputera dan rakyat Malaysia sendiri.
“Sebagai contoh, kalau dalam bidang kejuruteraan, ada yang mungkin bagi lesen mengikut pertalian atau kroni, itu yang sampai bagi dua tiga kontraktor sehingga merosakkan kualiti, ia mewujudkan ketidaksamarataan dan tidak adil kepada orang lain.
“Tiba masanya untuk setiap perniagaan dijalankan dengan telus, bukannya dibiarkan begitu sahaja sehingga ia merugikan negara, sedangkan duit itu begitu banyak boleh digunakan untuk perkara lain. Mereka mampu menyumbang 100 peratus kepada negara tapi disebabkan kanser ini, mereka sumbang 50 ke 60 peratus sahaja,” katanya.-UTUSAN