Menang dulu, baru bincang siapa Menteri Besar Negeri Sembilan - Mohamad - Utusan Malaysia

Menang dulu, baru bincang siapa Menteri Besar Negeri Sembilan – Mohamad

MOHAMAD Hasan ketika menyampaikan sijil perlindungan skim di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada penerima sempena Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Belia Parlimen Rembau, di Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan, kemenangan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan adalah lebih utama daripada perbincangan mengenai individu yang bakal menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Ahli Parlimen Rembau dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu menambah, buat masa ini diharapkan fokus jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi PRN tidak tersasar dengan memikirkan soal jawatan Menteri Besar itu.

“Macam ni lah, we cross the bridge first, pastikan kita menang, kalau setakat minta-minta tidak boleh juga. Tidak perlu lah kita berebut jawatan tetapi pastikan kita boleh tubuh kerajaan.

“Sudah tubuh kerajaan nanti kita runding la elok-elok. Kita tentukan siapa dalam parti BN siapa calon yang kita rasa paling layak lepas tu berunding pula antara BN dan PH. Kalau kedua-dua parti boleh tubuh kerajaan itu sepatutnya yang perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Belia Parlimen Rembau di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menjelaskan lagi, sokongan boleh diberikan oleh mana-mana pihak terhadap siapa sahaja yang diketengahkan sebagai Menteri Besar namun soal pelantikan jawatan seperti Perdana Menteri dan Menteri Besar adalah tertakluk kepada Perlembagaan.

“Melantik Perdana Menteri dan Menteri Besar adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Raja-raja atau Sultan negeri masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, seperti di PRN Johor lalu, poster boy yang diketengahkan ialah Datuk Seri Hasni Mohammad bagaimanapun Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memilih seseorang lain untuk menjadi Menteri Besar.

“Parti tidak boleh buat apa-apa kerana dalam Perlembagaan, hak mutlak melantik adalah terletak kepada Duli Yang Maha Mulia,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN