Melampau, seolah-olah saya yang bunuh isteri sendiri -Shuib

Melampau, seolah-olah saya yang bunuh isteri sendiri -Shuib

SHUIB ketika menghadiri sidang akhbar di Cheras, semalam. -UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHERAS: Pelawak dan penyampai radio, Shuib, 39, terkilan dan berang dengan tuduhan individu tidak bertanggungJawab yang menuduhnya sebagai punca Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raisuddin ditidurkan dan meninggal dunia akibat Covid-19 tiga tahun lalu.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, atas tujuan apa sekali pun kenyatan berbaur fitnah itu dikeluarkan, dia tidak akan berkompromi dan bertegas untuk mengheret individu terlibat ke mahkamah.

“Saya memang akan teruskan tindakan undang-undang. Hal ini benar-benar mengganggu emosi saya dan apabila melibatkan arwah isteri, Siti Sarah, ia satu perkara yang sensitif.

“Saya dituduh sebagai ahli Freemason, itu memang sesuatu yang bodoh, bangang dan boleh lagi untuk saya buat tak layan. Tetapi apabila saya terbaca pula pasal mereka kaitkan dengan arwah, saya rasa itu melampau,” katanya dalam sidang akhbar di kedai minuman miliknya, di sini, semalam.

Pada sesi yang sama, Shuib turut bertemu dengan seorang daripada individu yang dikesan Shuib telah memuat naik perkara berkenaan di media sosial.

Individu tersebut yang dikenali sebagai Zulhairy, hadir bagi memberi penjelasan selain meminta maaf sebagai tanda penyesalan.

Selain itu, Shuib turut meminta supaya semua pihak berhenti memanipulasikan fitnah tersebut selain berhati-hati apabila memuat naik sesuatu bahan di media sosial.

“Saya pun banyak khilaf, tetapi rasanya permainan media sosial yang melampau seperti ini harus segera dihentikan. Saya tahu, ada ramai lagi nama artis lain yang dipetik kononnya terlibat dengan Freemason.

“Peliklah orang macam saya ini tiba-tiba Freemason mahu labur duit. Kita cari duit susah pagi petang siang malam tiba-tiba orang tuduh kita pengikut Freemason. Kita bukan artis Hollywood.

“Kalau saya begitu, tak adalah kerja lagi, jadi penyampai radio. Patut sedang relaks saja duduk atas kapal layar sambil bercuti. Jadi hentikanlah tabur fitnah begini dan harap hal begini tak berlaku lagi,”katanya.

Dalam pada itu,Shuib tidak menolak kemungkinan isu Freemason itu mula terpalit kepadanya setelah dia dan isteri barunya, Watie Hanafiah, terlibat dalam satu sesi fotografi mempromosikan jenama barangan kemas tempatan.

Menerusi fotografi tersebut, dia dan Watie, diminta oleh jurugambar untuk bergaya dengan tangan menutupi sebahagian wajah bagi memperagakan cincin emas.

“Disebabkan gambar itu, golongan tertentu ini menjadikan bahan mendakwa saya ahli Freemason. Saya sebenarnya dah boleh agak isu itu akan timbul tapi tak ada kena-mengena pun dengan Freemason atau apa.

“Tapi untuk orang menuduh saya sebagai ahli Freemason itu mengarut. Apa buktinya? Saya pun bukan tahu tentang organisasi itu,” katanya.

Awal pagi kelmarin,Shuib meluahkan rasa berang dengan tuduhan melampau seorang individu di laman sosial dan menegaskan mahu mencari individu terbabit sampai ke lubang cacing demi mendapatkan keadilan.

Malah dia memaklumkan akan menggunakan saluran undang-undang terhadap penfitnah yang menuduh Siti Sarah dipaksa untuk ditidurkan ketika dijangkiti Covid-19.

Dalam tulisan itu, individu tersebut turut mendakwa Freemason menggunakan artis untuk mempromosikan vaksin, selain menyatakan Shuib tidak boleh mengingkari arahan walaupun terpaksa mengorbankan keluarga sendiri.

Terdahulu, Shuib mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Siti Sarah pada 2011, namun penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos 2021.

Pada 23 Jun lalu, Shuib menamatkan zaman duda sebaik menikahi Watie, isterinya kini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya