MCA persoal keikhlasan DAP - Utusan Malaysia

MCA persoal keikhlasan DAP

TI LIAN KER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti komponen Barisan Nasional (BN) MCA mendakwa DAP tidak ikhlas menjalinkan kerjasama menerusi penubuhan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, ia berikutan penyertaan MCA dalam kerajaan perpaduan seperti tidak dialu-alukan apabila tiada tolak ansur berhubung soal pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri ketika ini.

Menurut beliau, MCA juga tidak dilibatkan secara rasmi dalam beberapa perbincangan sebelum ini dan hanya melibatkan UMNO semata-mata.

“DAP nampak tidak ikhlas. Di satu pihak, mereka suruh kerjasama tetapi di satu pihak lain mereka kata semua kerusi yang mereka menang tidak akan diberi laluan.

“Itu namanya bukan tolak ansur. Selepas itu, ada satu ketika Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching kata hanya sokong UMNO tapi bukan sokong BN. Apabila diminta berbincang, mereka hanya mahu dilibatkan dengan UMNO sahaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

MCA sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Se­langor dan Negeri Sembilan.

Alasan kerana parti itu mahu menumpukan persedia­an bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), selain mahu melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula parti itu.

TERGURIS

Dalam pada itu, Lian Ker berkata, MCA juga terguris dengan beberapa tindakan DAP sebelum ini termasuk kenyataan yang mahu menghapuskan salah satu parti komponen dalam BN.

“Saya juga masih ingat DAP pernah mengatakan satu perkataan dalam bahasa Cina
Jiaome iaitu mahu menghapuskan MCA. Itu laungan mereka yang pada saya terlalu ekstrem.

“Masyarakat Cina pula pada masa itu berpegang kepada prinsip asalkan bukan UMNO dan hapuskan MCA. Kebencian ini masih ada dalam naluri penyokong dan mereka yang ‘atas pagar’. Jadi, sudah tentu DAP perlu minta maaf dahulu,” ujarnya.

Tian Ker dalam masa yang sama berkata, seandainya hubungan kerjasama diteruskan tanpa ada permohonan maaf, beliau bimbang akan melahirkan perasaan tidak ikhlas dengan hubungan itu.

“‘Kalau tidak (minta maaf) dan kita teruskan bekerjasama, maka lahir perasaan tidak ikhlas. Malah kita tahu lambat laun mereka akan bergaduh dengan UMNO (seandainya tia­da permohonan maaf), sama sebagaimana ketika bekerjasama dengan Pas dulu,” katanya.

Lian Ker turut mempersoalkan ke mana hilangnya prinsip dan perjuangan DAP yang se­ring dilaung-laungkan sebelum wujudnya kerajaan perpaduan antara BN dan PH.

“Satu lagi perlu ingat DAP seringkali menekankan prinsip Cekap, Telus dan Amanah (CAT). Tapi sekarang apa sudah jadi? DAP sudah tidak cakap lagi mengenai CAT.

Begitu juga sijil peperiksaan bersepadu (UEC). DAP perlu jelaskan agar penyokong mereka tidak tertipu,” kata beliau.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×