JOHOR BAHRU: Gara-gara ‘kelabu mata’ dijanjikan pulangan sebanyak RM28,000 setiap bulan, seorang wanita bukan sahaja tidak meraih sebarang pulangan, malah pelaburannya berjumlah RM672,491 turut lebur.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 42 tahun tentang penipuan pelaburan yang diiklankan menerusi laman sosial Facebook pada pukul 3.15 petang, semalam.
Menurutnya, mangsa yang merupakan pekerja swasta telah ditawarkan oleh seorang wanita untuk membuat pelaburan saham.
“Terjerat dengan janji manis suspek, mangsa telah membuat 14 transaksi pemindahan wang ke empat akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM672,491 antara 30 Mei hingga Selasa lalu.
“Walau bagaimnapun, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kempas semalam setelah tidak menerima pulangan sebanyak RM28,000 setiap bulan seperti yang dijanjikan,” katanya di sini hari ini.
Justeru, Kamarul Zaman menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati terutamanya ketika berurusan secara dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Semak terlebih dahulu talian telefon dan akaun bank yang digunakan menerusi aplikasi ‘Semak Mule’ yang disediakan secara dalam talian oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK). Orang ramai juga diseru sentiasa mengikuti laman sosial JSJK seperti Facebook, Instagram dan TikTok bagi mengetahui modus operandi terbaharu jenayah komersial.
“Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, sila hubungi National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN