JOHOR BAHRU: Syarikat hartanah Plenitude Bhd. melancarkan fasa pertama kawasan perbandaran baharu Impian Hills di Ulu Tiram di sini dengan memperkenalkan kediaman jenis Magnolia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Wee Kee berkata, pelaburan keseluruhan syarikat itu bagi perbandaran baharu berkenaan adalah sebanyak RM1.2 bilion.
Menurut beliau, Bandar Impian Hills merangkumi lapan fasa dengan menempatkan keseluruhan sebanyak 1,300 unit kediaman yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Kediaman jenis Magnolia ini mempunyai binaan seluas 1,698 kaki persegi dan 2,216 kaki persegi, dengan harga permulaan adalah RM453,600.
“Kami juga berbesar hati untuk memaklumkan bahawa 98 peratus kediaman ini telah terjual sepenuhnya dan dijangka siap menjelang akhir tahun depan,” katanya selepas melancarkan rumah contoh Magnolia di Bandar Impian Hills, Ulu Tiram di sini hari ini.
Tambah Wee Kee, apabila siap kelak, Bandar Impian Hills ini yang dibangunkan di tanah berkeluasan 164 hektar ini bukan sahaja menempatkan unit kediaman, tetapi juga kawasan komersil seperti pasar raya dan lain-lain.
“Bandar Impian Hills merupakan projek kedua Plenitude Berhad di Johor, dengan yang pertama dibangunkan adalah di Bandar Desa Tebrau, iaitu kira-kira 10 kilometer sahaja daripada lokasi ini.
“Kami percaya lokasi kediaman ini yang mempunyai akses terus ke laluan utama yang menghubungkan Johor Bahru dan Kota Tinggi akan menjadi tarikan tambahan kepada pembeli, termasuk yang bekerja di Singapura,” ujarnya.
Wee Kee turut memberitahu, Selain Magnolia, pihaknya juga mengumumkan dua lagi fasa pembangunan bakal dilancarkan pada suku ketiga 2023.
“Buat masa ini, projek fasa kedua iaitu kediaman jenis Hibiscus yang berukuran lebih besar akan dilancarkan terlebih dahulu, dengan pembeli berminat sudah boleh mula mendapati maklumat berkaitan.
“Selain itu, kita juga mempunyai beberapa projek kediaman di Lembah Klang, Pulau Pinang dan juga Kedah, selain beberapa rangkaian hotel di dalam dan luar negara,” ujarnya.-UTUSAN