Lelaki 'wanted' rakyat Myanmar didakwa bunuh pekerja

Lelaki ‘wanted’ rakyat Myanmar didakwa bunuh pekerja Bangladesh

AJIB Kham dibawa oleh anggota polis ke Mahkamah Majistret Ampang bagi menghadapi pertuduhan membunuh seorang warganegara Bangladesh.  -UTUSAN/FARIZ RUSADIO 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang bekas tukang rumah warganegara Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini atas pertuduhan membunuh seorang pekerja kedai dobi dalam satu perselisihan faham, lapan tahun lalu.

Ajib Kham yang melarikan diri selepas kejadian pada 2015, diberkas sepasukan polis pada 23 Jun lalu ketika membuat serbuan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Pada prosiding hari ini, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, 37, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Menurut pertuduhan, Ajib didakwa membunuh Uzzal Ali, 28, seorang warganegara Bangladesh kira-kira pukul 8.30 malam, 5 September 2015 di Jalan 2/2, Pandan Cahaya, Ampang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika bukan hukuman mati, hendaklah juga dikenakan sebatan minimum 12 kali.

Mahkamah menetapkan kes disebut pada 3 Oktober ini bagi mendapatkan laporan forensik.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut laporan media, suspek diberkas polis hasil maklumat orang ramai manakala ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadapnya mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis amphetamin dan methamphetamin.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, suspek yang juga pengutip sampah diberkas di Bukit Mertajam pukul 12.30 tengah malam, 23 Jun lalu.

Berdasarkan siasatan dilakukan mendapati mangsa iaitu seorang lelaki warga asing sedang bekerja sebelum didatangi suspek iaitu seorang lelaki warga asing yang dikenalinya.

“Semasa kejadian, suspek dalam keadaan mabuk dan mangsa menegurnya supaya keluar. Namun apabila ditegur, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.

“Punca kejadian dipercayai akibat teguran mangsa terhadap suspek yang berada dalam keadaan mabuk,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azam berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Ampang dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan susulan kecederaan di belakang badan serta tangan akibat kesan tikaman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN