KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungangnya hilang kawalan sehingga melanggar tiang lampu jalan lalu tercampak ke atas jalan di Jalan Desa 3, Bandar Country Homes, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, mangsa berusia 23 tahun itu hilang kawalan semasa dalam perjalanan dari Bandar Country Homes menghala ke Rawang.
Kata beliau, mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian akibat dari kecederaan parah dibahagian kepala.
“Semasa tiba di tempat kejadian mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar tiang lampu sebelah kiri jalan lalu mangsa telah tercampak di atas jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan dari Hospital Sungai Buloh. Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Zainal Mohamed berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Mohamad Suhaimi Bin Tukiman di talian 013-7557556 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya. -UTUSAN