KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka dengan cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menjadikan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila pencarum mencecah usia 55 tahun sebagai mandatori bagi pencarum baharu.
Perdana Menteri melihat langkah itu boleh memastikan pencarum mempunyai wang yang cukup untuk menyara hidup selepas bersara.
“(Cadangan) itu masih di peringkat akhir dan saya tidak ada keberatan,” kata beliau selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-10 2023 (ISWC 2023).
Perdana Menteri turut melancarkan versi baharu Aplikasi i-Akaun KWSP yang menggabungkan ciri-ciri inovatif dan interaktif untuk meningkatkan pengalaman pengguna.
Beliau mengulas cadangan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kelmarin bahawa pengeluaran secara berkala mampu memberi peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.
Beliau berkata, pengeluaran berkala juga memberi peluang kepada ahlinya terus menikmati dividen tahunan daripada baki simpanan sedia ada.
Ketika ini, pengeluaran secara bulanan boleh dibuat secara sukarela dan menuju ke depan KWSP sedang mempertimbangkan sama ada menjadikannya secara mandatori bagi ahli baharu.
Anwar berkata, walaupun pengeluaran berkala secara mandatori itu ada kebaikan tersendiri namun mungkin tidak memberi kelebihan da pencarum yang mempunyai jumlah simpanan kecil.
Sehingga Mac 2023, seramai 116,423 ahli baharu menjadikan jumlah ahli KWSP mencecah 15.8 juta dengan 8.45 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 16.81 juta tenaga kerja di negara ini. – UTUSAN










