PETALING JAYA: Kerenah birokrasi dalam semua urusan dan perkara perlu dikurangkan jika kerajaan berhasrat meningkatkan ekonomi negara dengan menjadikan 30 ekonomi besar dunia dalam jangka sederhana sebagai sasaran.
Ini kerana rintangan birokrasi yang terdapat di Malaysia bukan sahaja boleh menyekat rakyat sendiri, tetapi menyukarkan pelabur asing untuk bertapak lebih lama di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, birokrasi merupakan perkara asas yang perlu ditangani kerajaan bagi melonjakkan ekonomi negara.
INTEGRITI
Beliau berkata, ia supaya sebarang urusan terutamanya berkaitan pelaburan sama ada dalam atau di luar negara dapat dibangunkan dengan pantas, namun aspek integriti tetap tidak boleh diketepikan.
“Semak semula prosedur sedia ada untuk mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan keputusan atau jawapan supaya tindakan seterusnya boleh diambil dengan segera.
“Selain itu, penawaran tender perlu lebih telus dan adil, melibatkan dewan perniagaan semua bangsa bagi pembangunan serta ekonomi dalam dan luar negara.
“Seterusnya mengadakan jawatankuasa pelaburan bersama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya semua pelaburan boleh diagihkan ke semua negeri serta memperkasakan Kementerian Sumber Manusia supaya ia dapat menjaga kebajikan pekerja,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas lanjut, Abu Sofian berkata, kerenah birokrasi yang kurang juga dapat membantu negara menjadi salah satu destinasi pelaburan.
DESTINASI
“Kita mahu dunia menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelaburan antara yg terbaik di dunia dengan mempunyai birokrasi yang kurang, infrastruktur yang baik dan bertaraf dunia serta pekerja-pekerja mahir dan berpendidikan tinggi.
“Jadi, kerajaan yang memerintah boleh sahaja membuat perubahan yang difikirkan wajar dan perlu. Jika memberi kebaikan, mengapa tidak? Ini akan mendapat sokongan rakyat.
“Oleh itu, tidak kira siapa yang memerintah, ekonomi dan keselesaan rakyat perlu diutamakan,” katanya.
Senada dengan beliau, Penasihat Utama di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Oh Ei Sun berpandangan, pengurangan keperluan birokrasi juga dapat membantu Malaysia mengembangkan pelaburan dan perdagangan antarabangsa.
Katanya, ini kerana ia merupakan aspek penting dalam permudah urusan niaga.
“Jika dapat buat itu, maka pelabur asing lebih rela untuk melabur di Malaysia dan ia dapat mengembangkan perdagangan,” katanya.
Ditanya berhubung pelaburan yang diperlukan, Ei Sun berkata, negara memerlukan pelaburan yang bernilai tinggi yang selari dengan trend di seluruh dunia iaitu teknologi tinggi dan hijau supaya dapat memecutkan ekonomi Malaysia ke arah mencapai dua sasaran itu.
“Pada masa sama, perlu meningkatkan tahap pendidikan terutamanya berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta mengembangkan lagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerana pelaburan teknologi memerlukan tenaga kerja yang dilatih dengan baik,” ujarnya.
Selain itu, Ei Sun tidak menolak negara dapat mencapai dua sasaran utama itu selari dengan sasaran sebelum 10 tahun.
Katanya, ini kerana walaupun Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun, tetapi bukanlah sebuah negara yang bertaraf mundur. – UTUSAN










