KUALA LUMPUR: Polisi kadar upah progresif kepada pekerja langkah alternatif bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup yang terus menjadi keluhan rakyat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, rakyat perlu memahami kesan pemberian subsidi bagi jangka panjang dan kapasiti kerajaan untuk menampung subsidi tersebut untuk mengurangkan kos sara hidup.
Menurut beliau, kerajaan perlu mengubah dasar sedia ada agar tidak terlalu mengawal harga barang dengan memberi subsidi tetapi fasa tersebut perlu diubah secara perlahan-lahan.
“Berpuluh tahun apabila ada perbincangan mengenai ekonomi, bila rakyat bercerita pasal kos sara hidup, semua mengenai harga barang, barang barang. Oleh kerana pendekatan-pendekatan kerajaan yang lepas, di mata rakyat, apabila bercerita mengenai kos sara hidup, dia ingat kerajaan mesti mengawal harga barang.
“Mereka tidak sedar bahawa ada perkara yang boleh ada elemen subsidi tetapi jika elemen subsidi terlalu banyak, dia ada dua kesan, pertama kita mengalih wang daripada kerajaan ini hanya untuk mengawal harga barang, ini sudah sampai tahap yang kita sudah tidak mampu lagi,” kata beliau ketika ditemui selepas program Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia di Shangri La Hotel hari ini.
Menurut beliau, kerajaan terdahulu tidak pernah membincangkan perihal kenaikan gaji tetapi kerap menggunakan langkah populis yang membawa kepada penyelesaian jangka pendek bagi menangani isu kos sara hidup.
GAJI
“Yang orang tak nak bercakap adalah soal gaji kerana mereka tidak mahu bercakap mengenai pekerja kita, pertumbuhan gajinya perlahan kerana salah satunya yang bising itu majikan yang mengatakan dia tidak mahu bayar.
“Kerajaan juga fikirkan kalau perlu dibayar ini, banyak yang perlu dibayar. Sebab itu soal gaji ini tidak dibincangkan langsung oleh kerajaan sebelum ini. Jadi, ini adalah kali pertama kita ada kerajaan yang menyatakan komitmen untuk menaikkan gaji,” kata beliau.
Oleh itu, kata Rafizi, , bila menyentuh mengenai ekonomi, kerajaan perlu mengambil kira semua pihak yang terlibat.
Pada Jun lalu, Rafizi mengumm kerajaan akan mula membentangkan kerangka pertama statistik gaji negara secara suku tahunan pada bulan depan.
Kerangka itu merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan jurang pendapatan rakyat yang masih berada di paras 36 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). – UTUSAN