PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mempertahankan tindakan laporan polis terhadap beberapa individu yang didakwa mengeluarkan dan menyebarkan beberapa kenyataan bersifat palsu serta fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu hantaran di Twitter, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, ini kerana kebenaran akan lebih cepat dijernihkan melalui siasatan polis berbanding saman fitnah.
“Kalau pakai saman fitnah, lepas pilihan raya negeri (PRN) pun mungkin belum bicara lagi, kalau guna siasatan polis akan lebih cepat untuk tahu kebenaran.
“Pembangkang takut ke penggunaan fitnah berleluasa mereka disedari rakyat,” ciapnya hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan Biro Perundangan dan Perlembagaan Parti Bersatu yang menyifatkan Perdana Menteri sepatutnya memfailkan saman fitnah bagi mempertahankan dirinya berhubung isu pemilikan sebuah rumah di Kajang serta kereta mewah dan bukannya melibatkan polis dalam perkara itu.
Timbalan Pengerusinya, Sasha Lyna Abdul Latif dilapor berkata, Anwar mempamerkan sikap hipokrit Anwar apabila menggunakan ‘undang-undang drakonian’ yang ditentangnya sebelum ini.
Semalam, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi membuat laporan polis terhadap Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Che’gu Bard, Wan Saiful Wan Jan dan Raggie Jessy Rithaudeen kerana mengeluarkan dan menyebarkan beberapa kenyataan palsu dan bersifat memfitnah terhadap Perdana Menteri.
Ahmad Farhan berkata, kenyataan fitnah itu dikenal pasti melalui kenyataan media Che’gu Bard setelah beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ucapan Wan Saiful semasa ceramah ‘isu-isu semasa kawasan Jerlun’ beberapa hari lepas.
Ia terkait mengenai kediaman peribadi Perdana Menteri di Sungai Long dan beberapa kenderaan yang digunakan Ahli Parlimen Tambun itu. -UTUSAN










