Kes denggi Perlis rekod peningkatan 2,668.7 peratus

Kes denggi Perlis rekod peningkatan 2,668.7 peratus

PETUGAS kesihatan melakukan semburan bagi mencegah denggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kes denggi di Perlis membimbangkan apabila sebanyak 443 kes dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding hanya 16 kes dalam tempoh sama tahun lalu, sekali gus menyaksikan peningkatkan sehingga 2,668.7 peratus.

Peningkatan tersebut adalah yang tertinggi direkodkan di negara ini dengan satu kematian akibat komplikasi denggi tersebut dilaporkan di negeri ini.

Setakat 24 Jun lalu, sebanyak 181 kes atau 45.8 peratus dimasukkan ke hospital yang mana sebanyak 22 kes memerlukan rawatan lanjut di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Berikutan itu, pelbagai aktiviti kawalan dan pencegahan telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan negeri bagi memutuskan rantaian jangkitan seperti penghapusan tempat pembiakan, aktiviti larvaciding, semburan kabus, pendidikan kesihatan dan pemeriksaan premis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ismuni Bohari berkata, setakat 24 Jun lalu, sebanyak 44,694 premis telah diperiksa dan 117 kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 [Akta 154] dengan nilai kompaun sebanyak RM58,500.00 telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang didapati positif pembiakan nyamuk Aedes.

Katanya, usaha membanteras kes demam denggi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), pemimpin setempat, agensi kerajaan, agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua lapisan komuniti.

Ujarnya, Jabatan Kesihatan negeri juga menyeru supaya semua sektor yang terlibat memainkan peranan dalam memastikan persekitaran premis, kawasan kediaman dan tempat kerja bersih serta bebas tempat pembiakan nyamuk.

“Antara tindakan segera yang perlu diambil adalah seperti melaksanakan aktiviti cari dan musnah selama 10 minit setiap minggu bagi memastikan tiada bekas takungan air berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Selain itu, memasukkan bahan pembunuh jentik-jentik di dalam bekas takungan air serta bekas simpanan yang sukar dibersihkan atau bekas simpanan air kekal. Antara lain, menggunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam premis setiap hari pada waktu gigitan puncak nyamuk Aedes (awal pagi dan petang).

“Selain itu, kita juga perlu menggunakan repelan serta memakai pakaian seperti baju berlengan panjang, seluar panjang serta pakaian yang berwarna cerah bagi mengelak daripada gigitan nyamuk Aedes terutama apabila berada di luar rumah khususnya pada waktu awal pagi dan petang,” katanya.

Tambah Ismuni, orang ramai perlu mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala dan tanda-tanda seperti demam, sakit sendi, sakit kepala, ruam dan sebagainya terutama bagi penduduk di kawasan terdapat kes dan wabak denggi.

Selain itu, katanya, adakan aktiviti gotong-royong secara berkala bagi memelihara kebersihan persekitaran premis.

“Kita perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada anggota kesihatan yang melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi di premis.

“Kita ingin mengingatkan bahawa penyakit demam denggi ini boleh membawa maut.

“Justeru, semua pihak diminta untuk bersama-sama melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing bagi membendung penularan demam denggi di Perlis,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya