Kebangkitan anak muda  lebih besar pada  PRN kali ini - Hadi Awang - Utusan Malaysia

Kebangkitan anak muda  lebih besar pada  PRN kali ini – Hadi Awang

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri  akan menyaksikan kebangkitan anak-anak muda yang mahu menegakkan Islam kerana  tidak berpuas hati dengan pemimpin-pemimpin kerajaan ketika ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah menjadi saksi kebangkitan anak muda  secara berduyun-duyun ingin menegakkan Islam.

Menurut  beliau, perkara itu mengatasi orang tua yang sibuk dengan urusan hidup tanpa memahami bahaya kelekaan mereka  sehingga ditenggelamkan oleh gelombang membinasakan.

“Kita menyaksikan tanda-tanda sangat menarik dengan kebangkitan anak muda di negara kita dalam PRU15 yang akan terus meluncur  lebih besar pada PRN nanti.

“Khususnya, dengan keinsafan mereka apabila melihat tanpa tertarik kepada pemimpin yang terjun ke padang untuk menari dan menyanyi bagi menggoda mereka. Barangkali yang mabuk dadah serta syabu sahaja boleh bernafsu tanpa mengira tua dan muda,” katanya dalam catatan Minda Presiden di Facebook hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan PRN serentak selepas semua enam negeri mengumumkan pembubaran DUN iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan dengan membabitkan kos perbelanjaan sebanyak  RM420 juta.

PRN kali ini bakal membabitkan 9,781,416 pengundi yang berdaftar dan seramai 1,416,903 pengundi muda iaitu berumur 18 hingga 20 tahun akan turut sama menentukan nasib negeri untuk tempoh lima tahun kehadapan.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN) itu berkata, perubahan anak muda wajib berlaku secara menyeluruh dan sempurna.

“Maka peranan ibu bapa dan pendidik sangat penting bagi membentuk anak yang bertenaga menongkah cabaran bagi melakar kemenangan yang bertenaga.

“Begitu juga, menjadi pelapis yang tidak mematikan perjuangan kebaikan dan kebahagiaan yang berwawasan dunia dan akhirat.,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN