PETALING JAYA: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan menjalankan siasatan berhubung kes kematian tahanan lokap di Balai Polis Setiawangsa, semalam.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, kematian itu membabitkan seorang lelaki berusia 59 tahun yang ditahan pada 6 Julai lalu mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, orang kena tahan (OKT) itu kemudian ditahan pula bersabit kes lain di lokap sama untuk siasatan.
“Bagaimanapun, pada 21 Julai lalu, OKT mengadu demam dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.
“OKT diberi ubat sakit dan dibawa semula ke lokap pada hari sama, namun semalam, rakan sel melihat lelaki itu sesak nafas dan bersandar di dinding tandas sel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Azri berkata, pihak hospital segera dihubungi dan ambulans sampai untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Jelasnya, doktor Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL membuat pemeriksaan dan mengesahkan kematian OKT.
“Bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca kematian.
“Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan,” katanya.-UTUSAN