PORT DICKSON: Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) memberi komitmen untuk bekerja di seluruh 36 kerusi yang ditandingi calon gabungan parti itu dan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kemenangan di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun UMNO-BN hanya bertanding di 17 kerusi tetapi parti itu akan tetap membantu PH 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lain.
“Kami tidak hanya bekerja di kawasan-kawasan di mana calon BN bertanding tetapi jentera UMNO-BN akan turut bekerja di seluruh 36 kerusi ditandingi.
“Insya-Allah kalau kita bekerja keras di Negeri Sembilan, kita akan mendapat kemenangan di seluruh 36 kerusi, saya harap mulai malam ini walaupun kita telah bekerja, saya yakin kerjasama dan keserasian jentera BH-PH, saya akui adalah yang terbaik antara negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikan pada Program Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Sembilan di sini hari ini.
Yang turut hadir Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim,Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sementara itu, menurut Ahmad Zahid, dalam situasi tersebut komitmen dan iltizam daripada semua gabungan diperlukan bagi memastikan kemenangan BN-PH dan menjadi kerajaan negeri.
Jelas beliau, Negeri Sembilan juga telah ditransformasikan di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dengan purata pelaburan tahunan diterima yang meningkat.
“Itu ketika BN tidak bersama PH, Datuk Seri Jalaluddin Alias (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan) pastikan apabila kita bentuk kerajaan lepas 12 Ogos ini, Insya-Allah kita mendukung Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan dan rakyat lebih makmur,” katanya lagi.-UTUSAN.