Jemaah Menteri bincang semak skim gaji perkhidmatan awam minggu depan - Utusan Malaysia

Jemaah Menteri bincang semak skim gaji perkhidmatan awam minggu depan

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan penjawat awam ketika beliau hadir pada Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu hadapan akan menyemak semula skim gaji perkhidmatan awam bagi memastikan penjawat awam menerima gaji dan upah yang setimpal dengan kerja keras mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syor penelitian semula skim gaji perkhidmatan awam itu dibuat selepas mempertimbangkan tiada kenaikan diberikan bagi suatu tempoh agak lama.

Menurut Anwar, gaji penjawat awam paling akhir dinilai pada 2013 iaitu 10 tahun yang lalu dan perkara itu telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr. Zulkapli Mohamed.

“Kita akan memulakan pasukan untuk mengkaji dan saya bersetuju (dengan syor berkenaan).

“Kita akan bentangkan kepada Jemaah Menteri minggu depan supaya diberikan kelulusan dan pasukan ini boleh memulakan kerja dan memberikan cadangan kepada kerajaan untuk meningkatkan (skim gaji penjawat awam),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Mohd. Zuki dan Dr. Zulkapli.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pertimbangan itu wajar dibuat selepas mengambil kira skim gaji penjawat awam sedia ada ketika ini berada di tahap yang rendah.

Beliau bagaimanapun, tidak menetapkan jangka masa khusus bagi perbincangan itu mahu pun peratusan kenaikan yang dijangka diberikan kerana masih di peringkat awal.

Menurut Anwar, beliau berjanji untuk menaikkan gaji penjawat awam sebaik sahaja ekonomi negara kembali stabil dalam tempoh setahun.

“Sebaik sahaja ekonomi kita dalam setahun ini bertambah baik saya akan berikan keutamaan supaya upah dan gaji penjawat awam itu setimpal dgn gaji mereka,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan RM200 juta tahun ini bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah Rumah Angkatan Tentera di seluruh negara.

Menurut Anwar, kerajaan mendapati mendapati kebanyakan perumahan tentera sedia ada berada dalam keadaan teruk. 

“Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan baru- baru ini beritahu kepada saya, kedudukan perumahan tentera sangat teruk dan terbiar sekian lama. 

“Saya luluskan peruntukan segera tahun ini untuk perbaiki rumah tentera di seluruh negara sebanyak RM200 juta dan esok saya akan umum peruntukan tambahan untuk rumah polis,” katanya.

Pada Februari lalu, kerajaan menyediakan lebih RM500 juta untuk menyelenggara Rumah Angkatan Tentera dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah Kementerian Dalam Negeri.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN