PETALING JAYA: Penahanan bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan Jumaat lalu atas kehendak wanita itu sendiri dengan beliau tampil menyerah diri kepada polis.
Keputusan itu dibuat Jasmine selepas beliau berasa yakin dengan sistem kehakiman negara ketika ini.
Peguam mewakili Jasmine, Amer Hamzah Arshad dan Edmund Bon berkata, anak guamnya itu telah direman dan kini berada dalam tahanan.
Menurut beliau, keutamaan Jasmine menyerah diri adalah untuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang masih melakukan siasatan ke atas 1MDB.
“Tindakan Jasmine menyerah diri juga boleh memudah dan membantu kerajaan mempercepatkan usaha pemulihan aset
“Anak guam kami juga, bersedia melalui sistem perundangan dalam menghadapi dakwaan terhadapnya,” kata Amer kenyataan hari ini.
Selain itu, kata Amer, Jasmine kini mahukan privasi dan ruang untuk melakukan apa yang perlu sebelum kembali ke pangkuan keluarga.
Amer memberitahu, Jasmine bersedia menceritakan bagaimana perjalanan hidupnya ketika berada di luar negara sejurus meninggalkan Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan penahanan Jasmine dan memaklumkan wanita itu direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Jasmine disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak ke atas dua kenderaan dan wang tunai RM22,600 milik Jasmine. – UTUSAN