MARAN: Felda dicadangkan menubuhkan jawatankuasa khas pelaksana dan pemantau bagi merealisasikan janj-janji diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2023 pada minggu lalu
Warga Felda dari 317 rancangan Felda membabitkan 11 wilayah dengan lebih dua juta peneroka menyambut baik pengumuman tersebut yang meliputi semua masalah dihadapi peneroka.
Pengerusi Gabungan Ketua-Ketua Peneroka Wilayah Kuantan Zaid Sidek,62, berkata, Jawatankuasa khas tersebut perlu bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk merealisasikan apa yang diumumkan.
“Rancangan Felda yang menjadi model pembangunan luar bandar kepada negara luar masih memerlukan banyak bantuan kebajikan, sosial, pendidikan dan kemasyarakatan untuk dilaksanakan seperti lampu jalan bagi menambah keceriaan kampung,” kata beliau.
Pengerusi Biro Sosial dan Masyarakat Felda Wilayah Jengka, Razak Daud,63, berkata, peruntukan besar kepada Felda membuktikan kerajaan Madani tidak meminggirkan warga Felda yang majoriti Melayu dan bumiputera.
TERANCANG
Menurut beliau, masyarakat Felda yang dibentuk melalui pembangunan tanah secara terancang sangat baik menjadi lokasi program Digital Madani sekali gus bagi memperkasa ekonomi GiG.
Kata beliau, ini kerana usaha Felda mengutamakan pendidikan kepada warga Felda sejak Tabika telah melahirkan generasi yang celik teknologi maklumat, cergas dan bermotivasi.
Dalam pada itu, penerima Anugerah Khas Jawatankuasa Permuafakatan Produktiviti dan Kualiti 2023, Abd.Rahman Abd Ghani,58, yang juga Ketua Peneroka Felda Kota Gelanggi 1 terharu apabila kerajaan meluluskan pembinaan 12 Pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta di semua Felda.
Menurut beliau, pembinaan pusat hemodialisis membuktikan kerajaan peka dengan kesihatan warga emas peneroka yang semakin ramai menghidapi sakit buah pinggang kronik kerana kesan bebanan kerja berat seperti mengangkat buah sawit sejak muda.
Penerokawati Felda Keratong 10, Raasidah Mohd Arshad, 62, yang juga ibu tunggal turut gembira apabila kerajaan Memperkenalkan insentif khas Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) sebanyak RM300 memberi manfaat kepada 70,715 peneroka.
Bagi Jawatankuasa Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM) Mahadi Daud, 60, yang juga generasi kedua Felda Bukit Tajau, Maran berkata, janji Perdana Menteri untuk membantu menyelesaikan isu Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai sangat melegakan warga Felda.
“Diharapkan janji kerajaan menyiapkan baki 283 unit perumahan menjadi kenyataan,” katanya.
Pengerusi Alumni Majlis Belia Felda Wilayah Jengka Datuk Nordin Wahid berkata, kerajaan dan kepimpinan baharu Felda perlu memberi perhatian serius berkaitan isu asas di Felda iaitu harga komoditi yang tidak menentu. – UTUSAN











